Mahu buka kilang proses susu segar - Utusan Malaysia

Mahu buka kilang proses susu segar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Pemuda berjiwa besar ini pernah menolak tawaran untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah dalam jurusan Pengurusan Ladang dan Agroteknologi beberapa tahun lalu semata-mata ingin menyambung legasi bapanya dalam bidang ternakan lembu dan kambing.

Biarpun menempuh laluan berliku termasuk pernah me­ngalami kerugian besar selepas 48 ekor kambing tenusu miliknya terpaksa dilupuskan akibat penyakit tiga tahun lalu, Muhammad Ridzuan Abdul Razak, 27, langsung tidak pernah mengalah.

“Masa itu memang saya tertekan juga kerana masih baharu dalam bidang ini selain terpaksa menguruskan hampir semua perkara sendiri.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran, akhirnya saya berjaya bangkit daripada kesedihan itu dan mula memfokuskan kepada ternakan lembu tenusu dan produk yang dihasilkannya sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Padang Lalang, di sini baru-baru ini.

Ketika ini, bapa kepada seorang cahaya mata itu telah memiliki hampir 30 ekor lembu tenusu termasuk seekor lembu jantan induk dengan sebahagian besarnya diimport dari Australia. Dia juga mempunyai beberapa ekor kambing tenusu walaupun pada permulaan hanya bermula dengan dua ekor lembu tenusu.

Pada masa yang sama, Muhammad Ridzuan juga boleh berbangga apabila syarikat miliknya, Oonnee Milk House Enterprise yang menjual susu segar asli berpastur pelbagai perisa termasuk susu kurma serta dadih mula berkembang maju.

“Sasaran saya ketika ini hanyalah untuk meningkatkan jualan produk menerusi pertambahan ejen atau pengedar di seluruh negara selain membangunkan kilang memproses susu segar sendiri.

“Kalau boleh, saya mahu menjual sehingga 300 liter susu sehari berbanding hanya 200 liter ketika ini,” ujarnya yang kini menggaji enam pekerja dalam kalangan saudara-mara serta penduduk setempat.

Selain bapanya, Abdul Razak Din, 60, yang pernah menerima Anugerah Penternak Jaya 2013 dengan mengusahakan pelbagai produk ternakan termasuk lembu, kambing dan ikan keli, anak ketiga daripada empat beradik itu turut mendapat bimbingan nasihat dan bantuan teknikal daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar (PPV) daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Bagi memastikan susu yang dihasilkan pada tahap yang terbaik setiap masa, pihak veterinar juga akan mendapatkan sampel darah haiwan-haiwan tersebut setiap enam bulan sekali.

Ketika ini, produk tenusu keluaran syarikat milik Muhammad Ridzuan boleh didapati sekitar Seberang Prai Selatan dan Pulau Pinang, malah, turut dipasarkan ke beberapa lokasi di Kedah, Perlis dan utara Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya