Kerajaan agih RM222.4 juta - Utusan Malaysia

Kerajaan agih RM222.4 juta

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengagihkan elaun khas petugas barisan hadapan berjumlah RM222.4 juta ke atas 694,447 tuntutan sehingga 7 Ogos lalu.

Tuntutan tersebut melibatkan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam mendepani cabaran mengekang wabak Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, elaun khas itu juga disalurkan kepada petugas ke­selamatan yang terlibat dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut menerima elaun sama,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-17, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) semalam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM9.86 bilion dana pinjaman mudah telah diluluskan kepada 21,759 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh bank tempatan dalam tempoh sama.

Ujar beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan berban­ding minggu lalu iaitu RM9.63 bilion yang memberi manfaat kepada 21,410 penerima.

“Pada masa sama, sebanyak 3,459 permohonan melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) berjumlah RM24.9 juta diluluskan dan daripada jumlah itu, RM8.04 juta disalurkan kepada 1,078 PKS mikro.

“Sektor perbankan turut menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion untuk membantu PKS yang terkesan akibat Covid-19 dan sehingga 7 Ogos lalu, sebanyak 392 permohonan bernilai RM134.3 juta telah diluluskan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, inisiatif kerajaan merancakkan industri runcit menerusi Shop Malaysia Online bermula 1 Ogos lalu telah memberi manfaat kepada 1.09 juta pengguna.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, kerajaan dan Perbada­nan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan berganding bahu dengan lebih 20 rakan e-dagang dalam mempromosikan pelbagai tawaran selama dua bulan yang berakhir September ini.

“Selain itu, menerusi inisiatif e-dagang, lebih 145,000 perusahaan mikro PKS dijangka mendapat manfaat daripada latihan e-dagang, subsidi penjual dan sokongan jualan.

“Sehingga 7 Ogos lalu, sebanyak 63,000 perusahaan mikro PKS menerima manfaat daripada inisiatif tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya