KDNK S2 menguncup 6% hingga 12%? - Utusan Malaysia

KDNK S2 menguncup 6% hingga 12%?

EKONOMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan sektor ekonomi terpaksa ditutup disebabkan penularan Covid-19 menjadi faktor utama penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam suku kedua (S2) tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus akan membentangkan laporan KDNK S2 Jumaat ini.

Beberapa penganalisis ekonomi berpandangan KDNK negara akan menguncup sebanyak 6.7 hingga 12 peratus dalam suku kedua.

Dalam masa yang sama, pembukaan semula ekonomi telah memperlihatkan ekonomi kembali aktif dengan hampir 75 pe­ratus tenaga kerja telah kembali bekerja.

Namun begitu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan lengkungan U lebih sesuai berbanding lengkungan V untuk memberi gambaran mengenai ekonomi negara sehingga suku keempat 2020 memandangkan masih terdapat ancaman gelombang kedua dan ketiga Covid-19.

Katanya, KDNK suku kedua 2020 dijangka berada pada tahap -8 hingga -12 peratus dise­babkan PKP dengan kesan penuh dirasai pada April, Mei dan sedikit positif pada Jun apabila PKP mula dilonggarkan untuk membenarkan sedikit kegiatan ekonomi.

Menurut Aimi Zulhazmi, sektor teknologi maklumat (IT) terutama e-dagang dan logistik menjadi teraju utama kepada KDNK suku kedua di samping sektor pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE), sarung tangan dan barangan keselamatan yang berkembang pesat.

“Sekiranya negara berjaya membendung pandemik Covid-19­ ini secara keseluruhannya tahun ini, maka harapan cerah untuk menyaksikan ekonomi mencatatkan KDNK di antara lima hingga tujuh peratus tahun hadapan.

“Ia juga bergantung kepada ekonomi dunia untuk pulih ke­rana apabila pasaran luar kembali dibuka, ekonomi Malaysia berorientasikan perdagangan luar negara.

“Pemulihan harga minyak mentah dan kenaikan semula harga komoditi utama seperti kelapa sawit juga menjadi faktor penting untuk ekonomi negara kembali positif,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Mazlina Abdul Rahman pula mengunjurkan penurunan KDNK sebanyak -7.2 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, penguncupan KDNK tidak dapat dielakkan terutama disebabkan PKP di mana sebahagian besar aktiviti ekonomi telah ditangguhkan dan dalam masa yang sama kebanyakan negara seluruh dunia turut mengenakan sekatan pergerakan sekali gus memberi impak besar kepada aktiviti ekonomi.

Mazlina berkata, pertumbuhan negatif dijangkakan di semua sektor utama termasuk perkhidmatan dengan sebahagiannya disebabkan oleh penutupan sempadan antarabangsa dan sentimen pelancongan yang lemah.

“Semua komponen KDNK dijangka menguncup kecuali penggunaan awam berikutan beberapa pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan dengan daripada jumlah bernilai RM295 bilion, RM45 bilion daripadanya merupakan suntikan fiskal.

“Penggunaan swasta yang merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK turut me­nguncup berikutan PKP yang menyebabkan pengguna tidak keluar rumah dan me­ngurangkan perbelanjaan kese­luruhan mereka. Di samping itu, kadar pengangguran yang tinggi sehingga mengakibatkan kehilangan pendapatan turut menyumbang kepada penguncupan tersebut,” katanya.

Menurut Mazlina, jangkaan kemelesetan ekonomi turut disokong oleh data makroekonomi yang mempunyai kekerapan lebih tinggi seperti kadar eksport, indeks pengelua­ran industri (IPI) dan penjualan runcit.

“Eksport, IPI dan penjualan runcit mencatatkan penguncupan pada suku kedua 2020 berbanding tahun sebelum ini masing-masing pada kadar -14.3, -18 dan -18.9 peratus.

“Walaupun begitu, kami mengunjurkan ekonomi negara akan mula pulih secara beransur-ansur menjelang suku ketiga sejajar dengan pelonggaran sekatan bukan hanya di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Sebilangan besar perniagaan telah beroperasi semula tetapi mungkin belum bero­perasi dengan kapasiti penuh. walau bagaimanapun, penutupan sempadan antarabangsa di samping gelombang baharu Covid-19 dilihat akan mengehadkan pemulihan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.