Industri kenaf dijangka berkembang - Utusan Malaysia

Industri kenaf dijangka berkembang

MOHD. Khairuddin Aman Razali memeriksa pokok kenaf yang dituai ketika melawat kebun kenaf di Kampung Merhong, Pekan, Pahang semalam. – UTUSAN/SHAHRULNOOR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Industri kenaf dijangka terus berkembang maju sehingga mampu menjadi sumber baharu kepada pendapatan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yakin industri itu boleh diper­tingkatkan melalui usaha dilakukan kerajaan pada masa ini.

Menurut beliau, Pusat Industri Kenaf di kawasan seluas 2.02 hektar di Tebu Hitam, Rompin dekat sini merupakan satu inisia­tif kerajaan bagi membangunkan industri tersebut.

Beliau menambah, pusat industri tersebut pada masa ini mampu memproses 10,000 tan metrik batang kenaf kering dalam tempoh setahun melibatkan 1,000 hektar ladang.

“Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produk bernilai tambah yang tinggi dalam rangkaian pengeluaran industri ber­asaskan fiber termasuk sektor pulpa dan kertas.

“Dengan wujudnya pusat pemprosesan kenaf ini, ia akan turut membuka peluang (perniagaan produk hiliran) kepada usahawan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” kata beliau.

Selain itu, katanya, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut membangunkan pusat penghasilan benih tanaman itu di Kedah dan Perlis.

“LKTN juga akan meneruskan usaha serta pelbagai inisiatif bagi memastikan keseluruhan rantaian industri kenaf terus diperkukuh selain memastikan kebajikan pekebun kecil terjaga,” katanya.

Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika Majlis Penyam­paian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai 543 pekebun kenaf di negeri ini yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 diberi bantuan sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanaman.

Menurut Mohd. Khairuddin, sebanyak RM311,900 diperuntukkan kepada pekebun kenaf di negeri ini melibatkan kawasan tanaman 623.8 hektar di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE-Prihatin).

“Di bawah PRE-Prihatin, LKTN diperuntukkan RM968,680 untuk diagihkan 1,357 pekebun kenaf di seluruh Semenanjung termasuk 543 orang di Pahang.

“Ia bagi membantu mereka (pekebun) yang terjejas akibat pandemik. Bantuan ini juga untuk memastikan industri ini terus berkembang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.