Hartalega bayar yuran pengambilan pekerja RM40 juta - Utusan Malaysia

Hartalega bayar yuran pengambilan pekerja RM40 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd. mengumumkan syarikat itu akan membayar semula yuran pengambilan pekerja yang sebelum ini dibayar pekerja asing kepada agensi pengambilan pekerja berjumlah RM40 juta. 

Sebagai sebuah syarikat yang mementingkan kebajikan dan pematuhan sosial, Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, pembayaran balik itu sejajar dengan Dasar Sifar Kos Pengambilan Pekerja yang direncana syarikat itu April lalu. 

Katanya, dasar tersebut digubal bagi melindungi kebajikan pekerja asing dan memastikan mereka bebas daripada apa sahaja kos membabitkan pengambilan pekerja. 

“Kami sentiasa komited untuk terus meningkatkan dasar pematuhan sosial selaras dengan penanda aras antarabangsa. 

“Ini adalah proses berterusan yang telah kami usaha untuk perbaiki dan gembira apabila kami menunjukkan kemajuan menerusi pembayaran semula kos pengambilan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hartalega merupakan satu daripada pemain kaunter pasaran sarung tangan yang mendapat keuntungan positif sejak pandemik Covid-19 mula melanda pada penghujung tahun lalu. 

Namun begitu, saham Hartalega turun sebanyak 10 sen kepada RM18.50 sesaham ketika dibuka dalam sesi dagangan semalam berbanding ketika pasaran ditutup Jumaat lalu dengan syarikat itu mencatatkan pemodalan pasaran bernilai RM65.60 bilion. 

Tambah Mun Leong, isu melibatkan yuran pengambilan pekerja yang dibayar kepada pihak ketiga oleh pekerja asing merupakan isu global yang sangat rumit dan memerlukan penglibatan pelbagai pemegang taruh untuk mencapai penyelesaian yang boleh dianggap sebagai tanggungjawab bersama. 

Beliau berkata, Hartalega telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pelbagia pemegang taruh untuk mencari jalan penyelesaian dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Awal tahun ini, kami telah melantik pertubuhan bukan keuntungan yang telah terbukti dalam pematuhan sosial dan pemulihan bayaran pengambilan pekerja untuk melakukan temubual dengan pekerja terlibat. 

“Walaupun temubual itu tertunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dapat diselesaikan pada bulan Jun lalu. Kami menyasarkan untuk memulakan proses pembayaran semula pada suku keempat tahun ini dan berakhir dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya