Ekonomi UK S2 susut 20.4 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi UK S2 susut 20.4 peratus

DUA wanita melalui gedung beli-belah di London yang menawarkan potongan harga untuk menarik pelanggan. Ekonomi UK berdepan krisis disebabkan pandemik Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ekonomi Britain me­nguncup sebanyak 20.4 peratus pada suku kedua (S2) selepas negara terbabit melaksanakan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19, menurut data rasmi yang dikeluarkan semalam.

“Adalah jelas, (ekonomi) United Kingdom (UK) berada dalam rekod kegawatan terbesar,” kata Pejabat Statistik Kebangsaan.

Britain secara rasmi mema­suki fasa kegawatan pada suku kedua selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut 2.2 peratus pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Kegawatan secara teknikal diukur daripada penyusutan ekonomi dalam dua suku berturut-turut.

Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan, penguncupan pada enam bulan pertama tahun ini “sedikit rendah berbanding 22.7 peratus yang dicatatkan oleh Sepanyol, dan lebih dua kali ganda berbanding 10.6 dicatatkan oleh Amerika Syarikat.”

Tambahnya, kejatuhan suku kedua didorong oleh penguncupan sebanyak 20 peratus sektor pengeluaran pada April iaitu “kejatuhan terbesar direkodkan, penyusutan dalam industri perkhidmatan, penge­luaran dan pembinaan.”

Bagaimanapun, ekonomi Britain mula pulih apabila kerajaan melonggarkan perintah berkurung.

KDNK tumbuh sebanyak 8.7 peratus pada Jun, kata Pejabat Statistik Kebangsaan.

“Ekonomi melantun semula pada Jun dengan kedai-kedai kembali dibuka, kilang-kilang mula meningkatkan penge­luaran dan pembinaan kediaman turut pulih,” kata Timbalan Pe­rangkawan, Jonathan Athow.

“Di sebalik kejatuhan itu, KDNK pada Jun kekal enam ang­ka di bawah paras Februari, sebelum virus merebak.

“Secara keseluruhan, produktiviti menyaksikan kejatuhan terbesar pada suku kedua. Sektor hospitaliti paling teruk terjejas dengan produktiviti dalam industri berkenaan susut tiga suku baru-baru ini,” tambahnya.

Ini merupakan kemelesetan ekonomi pertama Britain sejak krisis kewangan global 2008.

Laporan kejatuhan ekonomi itu hadir di sebalik campur tangan kerajaan termasuk melaksa­nakan suntikan berbilion pound bagi menyokong sektor pekerjaan untuk mengelak pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Malah, Bank of England (BoE) turut menyalurkan suntikan tunai beratus-ratus bilion pound ke dalam pasaran selain memotong kadar pinjaman ke paras terendah iaitu 0.1 peratus.

Data Pejabat Statistik yang keluarkan kelmarin menunjukkan seramai 730,000 pekerja telah diberhentikan sejak Mac lalu. Syarikat-syarikat pula dijangka mengumumkan lebih ramai pemberhentikan pekerja apabila skim bantuan pekerjaan kerajaan berakhir Oktober ini.

BoE menjangka kadar pe­ngangguran akan meningkat kepada sekitar 7.5 peratus hujung tahun ini daripada 3.9 peratus sekarang.

Malah, bank pusat itu menjangkakan ekonomi UK akan menguncup sebanyak 9.5 peratus untuk tahun ini. Ekonomi domestik dijangka kembali pulih kepada sembilan peratus pada 2021. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya