fbpx

Airbus, Boeing alami tekanan kewangan

Harga saham Boeing menjunam melebihi 50 peratus sepanjang tahun lalu pada kadar AS$166.01 (RM704.88). – AFP
  • Oleh Ahmad Afiq Syahmi Bin Mohd Shah
  • 3 Ogos 2020, 12:38 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impak penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan syarikat-syarikat penerbangan tetapi juga menyulitkan kedudukan kewangan pengeluar kapal terbang global.

Dua pengeluar kapal terbang terbesar dunia, Boeing dan Airbus berhadapan situasi mencabar sejak pandemik itu dikesan ­Disember lalu dengan merekodkan kerugian tinggi di samping pengurangan kos menerusi pemberhentian pekerja.

Boeing baru-baru ini mengumumkan perancangan pengeluaran kapal terbang dan mungkin terpaksa memberhentikan pekerja disebabkan impak besar ­Covid-19 yang menyekat permintaan penerbangan udara.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, harga saham Boeing menjunam me­lebihi 50 peratus sepanjang tahun lalu pada kadar AS$166.01 (RM704.88).

Kehadiran Covid-19 sema­kin menghimpit kedudukan ­kewangan Boeing disebabkan permintaan pesanan semakin lemah yang menghantui syarikat pengeluar penerbangan itu sejak dua tahun lalu apabila model 737 Max terlibat dalam dua ke­malangan berasingan mengorbankan 346 nyawa.

Dua kemalangan besar itu masing-masing melibatkan pe­nerbangan Lion Air pada 29 ­Oktober 2018 yang mengorbankan 189 orang dan Ethiopian ­Airlines pada 10 Mac 2019 yang mengorbankan 157 nyawa.

Permintaan lemah itu mendorong Boeing mengumumkan pelan pengurangan 10 peratus daripada 160,000 pekerja menerusi pakej buyout dan pengurangan gaji sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutif ­Boeing, Dave Calhoun dilaporkan berkata, pemberhentian 19,000 pekerja telah membantu lebih AS$2 bilion (RM8.49 bilion) selepas mengumumkan Boeing mengalami kerugian sebanyak AS$2.4 bilion (RM10.19 bilion) pada suku sebelum ini.

“Impak berterusan Covid-19 menyebabkan pengurangan kadar pengeluaran dan permintaan lemah perkhidmatan komersial juga bermakna kami terpaksa menilai semula saiz tenaga kerja.

“Ini adalah berita paling sukar dan saya tahu menambah lagi ketidaktentuan dalam keadaan mencabar ketika ini. Kami cuba mengurangkan impak kepada tenaga kerja pada masa akan datang,” katanya.

Pesaing terbesar Boeing, Airbus pula mengumumkan kerugian bersih sebanyak 1.9 bilion euro (RM9.47 bilion) pada separuh pertama tahun ini disebabkan kegagalan pengeluaran dan penghantaran kapal terbang.

Syarikat pengeluar kapal terbang terbaik Eropah itu hanya dapat menyiapkan dan menghantar 196 kapal terbang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di sebalik syarikat penerbangan terpaksa mengurangkan jadual dan menghentikan pesanan.

Menurut laporan AFP, Airbus merekodkan kemerosotan pendapatan apabila menjunam 39 peratus kepada hanya 18.9 ­bilion euro (RM94.23 bilion) untuk separuh pertama tahun ini ­dengan penurunan 55 peratus pada suku kedua.

POPULAR