Kukuhkan sistem perlindungan sosial - Utusan Malaysia

Kukuhkan sistem perlindungan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat apatah lagi 826,100 atau 5.3 peratus pekerja telah menjadi ‘mangsa’ dan terpaksa menganggur. 

Walau bagaimanapun, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiame Diop berkata, sejak sebelum krisis Covid-19 lagi, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia telah mula merasakan bahawa pertumbuhan telah menjadi semakin tidak menyeluruh dengan kadar pertumbuhan pendapatan tidak sejajar dengan kos sara hidup. 

Sehubungan itu, Diop menekankan keperluan supaya Malaysia mewujudkan sistem perlindungan sosial lebih kukuh dengan kos dan dasar lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu serta isi rumah semasa tempoh pemulihan dan masa akan datang. 

Menurut Diop, sistem tersebut perlu menjamin tahap perlindungan minimum bagi golongan memerlukan, berupaya menangani keadaan yang berubah, menggalakkan pekerjaan dan mapan secara fiskal. 

Diop malah menegaskan langkah mengemaskini dan menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baru-baru ini merupakan tindakan penting. 

“Dimensi kemiskinan bukan pendapatan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) seharusnya dinaikkan juga dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Langkah-langkah ini akan membantu memaklumkan dasar dan program kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia terjejas menerima sokongan yang diperlukan.

“Usaha untuk menyokong isi rumah yang terjejas juga bermakna mewujudkan ruang fiskal tambahan agar kerajaan mempunyai keupayaan menangani krisis dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jabatan Perangkaan baru-baru ini mengumumkan PGK disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2015. 

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif. 

Semakan PGK terbaharu itu mengambil kira keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas, bukan makanan yang lebih berkualiti. 

Selaras dengan itu, kadar kemiskinan baharu juga telah meningkat kepada 5.6 peratus daripada 0.4 peratus, hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis bebas dan menyarankan kerajaan memasukkan tanda aras lebih realistik dalam RMK-12. 

Tambah Diop, secara jangka pendek, kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi golongan memerlukan terutama isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas walaupun sokongan dasar yang penting telah dilaksanakan. 

“Walaupun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih. 

“Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan terjejas terutama kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya. 

Bagi jangka sederhana, Diop mencadangkan untuk menyediakan ekonomi untuk beroperasi sewajarnya di bawah kebiasaan baharu dengan memulihkan penampan fiskal Malaysia untuk bersedia menghadapi krisis akan datang. 

“Covid-19 melanda secara mengejut di mana Malaysia memiliki ruang belanjawan yang terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung. 

“Apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai termasuk mencari sumber hasil baharu yang lebih progresif. 

“Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baharu serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya