Bursa Malaysia melonjak - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia melonjak

Selagi vaksin Covid-19 tidak ditemui, permintaan sarung tangan akan terus meningkat sekali gus melonjakkan saham-saham syarikat berkaitan di Bursa Malaysia. GAMBAR AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kaunter pengeluar sarung tangan terus kuasai pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Pasaran saham semalam melonjak melepasi paras 1,600 mata, didorong oleh saham-saham berkaitan sarung tangan dan keyakinan pelabur asing yang mula bertumpu kepada ekuiti di Asia Tenggara.

Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI melonjak 19.44 mata kepada 1,606.42 mata antara paras tertinggi dicatatkan pasaran modal tempatan selepas penunjuk cara pasaran menjunan sehingga 1,219.72 mata pada 19 Mac lalu, peningkatan hampir 33 peratus.

Bursa Malaysia juga mencatatkan rekod jumlah saham diniagakan Isnin lalu, dengan 12.5 bilion unit saham bernilai RM6.6 bilion bertukar tangan pada hari berkenaan.

Pasaran saham negara adalah antara yang terbaik di rantau ini sejak pandemik Covid-19 dikesan akhir tahun lalu.

Kaunter-kaunter pembuat sarung tangan terus memacu pasaran dengan Top Glove Corp. Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. naik lebih daripada dua peratus dan merupakan antara penyumbang tertinggi bagi indeks komposit FBM KLCI.

Selagi vaksin Covid-19 tidak ditemui dan pandemik itu gagal dikekang, saham berkaitan sarung tangan dijangka terus mendapat perhatian pelabur.

Semalam., saham Top Glove melonjak 5.75 peratus kepada RM26.12, menjadikan nilai syarikat itu kepada RM67.26 bilion. Top Glove kini menjadi syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd. yang mempunyai nilai pasaran RM65.03 bilion.

Harga saham Top Glove, pengeluar 70 peratus daripada pengeluaran sarung tangan dunia, telah meningkat hampir 460 peratus berbanding har­ganya pada awal tahun ini.

Penganalisis-penganalisis tidak menolak kemungkinan Top Glove akan mengatasi Maybank sebagai syarikat paling besar berdasarkan modal pasaran.

Kaunter sarung tangan lain turut menerima habuan daripada pandemik yang mengorbankan lebih 600,000 orang di seluruh dunia.

Saham Hartalega juga menokok 3.57 peratus sebelum ditutup pada RM18, menjadikan nilai syarikat berkenaan kepada RM61.7 bilion manakala Supermax Corp. Bhd. pula melonjak 4.78 peratus ketika ditutup semalam kepada RM17.44 dengan pasaran modal RM23.98 bilion.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kaunter-kaunter berkaitan farmaseutikal apabila ditutup lebih rendah. Pharmaniaga Bhd. susut 11.43 peratus kepada RM4.03 manakala Apex Healthcare Bhd. pula susut 14.36 peratus kepada RM3.40 dan Kotra Industries Bhd. pula susut 3.36 peratus kepada RM3.57.

Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim, situasi sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana saham berkaitan perbankan yang selalunya akan mempengaruhi pergerakan ­indeks.

Bagaimanapun, katanya, dengan pandemik Covid-19, para pelabur menjangkakan penjualan sarung tangan akan meningkat lalu menaikkan lagi harga saham syarikat-syarikat tersebut.

“Pada masa sama, pasaran ekuiti yang lain di Asia me­nunjukkan penurunan prestasi akibat hubungan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin tegang. Kerajaan AS telah mengarahkan penutupan Konsulat China di Houston atas tuduhan mengintip.

“Sekiranya situasi Covid-19 berpanjangan, kaunter sarung tangan dijangka terus menjadi pilihan para pelabur. Begitu juga kaunter-kaunter berkaitan teknologi berikutan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat berikutan norma bekerja dari rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, sekiranya Covid-19 dapat dipulihkan me­lalui penemuan vaksin dan sebagainya, saham-saham berkaitan sektor pelancongan seperti AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula akan menjadi fokus pelabur.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Inter-pacific Securities Sdn. Bhd., Zainal Ariffin ­Osman berkata, indeks FBM KLCI telah mencatat penurunan sejak Mei 2018 apabila ramai pelabur asing mula menjual ekuiti sehingga sekarang.

“Pada April 2018, pasaran tempatan merekodkan prestasi tertinggi iaitu 1,896 mata manakala paras terendah pula direkodkan pada Disember 2019 apabila indeks mencecah 1,550.9 mata.

“Bermula Januari hingga Mac 2020, indeks menurun sehingga mencecah paras terendah pada 1,207.8 mata. Tetapi kenaikan bermula 23 Mac lalu, indeks berada pada 1,220.54 mata dan terus meningkat hingga mencapai paras tertinggi pada 1,617.36 mata, 14 Julai lalu,” katanya.

Beliau menjelaskan penurunan indeks didorong faktor-faktor luaran terutama perang perdaga­ngan antara AS-China dan faktor dalaman ­disebabkan pertukaran kerajaan memerintah.

“Bagaimanapun, paras indeks sekarang telah mencapai paras sebelum Covid-19 yang didorong oleh pelabur-pelabur runcit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya