Bank masih berdaya tahan - Utusan Malaysia

Bank masih berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada sebab bank tolak moratorium bersasar

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan lanjutan moratorium masih lagi menjadi teka-teki dalam ­kalangan rakyat yang menanti berita baik daripada kerajaan dan pihak institusi kewangan menjelang berakhirnya tempoh itu September ini.

Dalam tempoh dua bulan lagi sebelum berakhir, majoriti rak­yat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) masih berharap moratorium dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya enam bulan lagi bagi memberi keselesaan serta kekurangan ­bebanan secara bulanan.

Pengumuman Menteri ­Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sektor perbankan mengalami kerugian berjumlah RM6.4 bilion seolah-olah memberi ‘petanda’ bahawa moratorium mungkin tidak akan dilanjutkan walaupun secara bersasar.

Begitupun, Pengarah ­Pusat Pengurusan Penyelidikan ­Universiti Kewa­ngan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, tiada sebab mengapa institusi kewangan dan sektor perbankan menolak untuk ­me­lanjutkan pelaksanaan ­moratorium walaupun secara bersasar.

Menurut Baharom, ke­dudukan kecairan sektor per­bankan berada pada tahap yang sihat sekali gus menunjukkan ­kemampuan untuk menyerap pelaksanaan moratorium bersasar.

Baharom berkata, jumlah RM6.4 bilion seperti yang diberitahu Tengku Zafrul dalam Sidang Parlimen semalam adalah jumlah apabila moratorium dilakukan secara menyeluruh, bukan bersasar seperti yang ­diharapkan semua pihak.

“Jumlah itu (RM6.4 ­bilion) disebabkan moratorium ­menyeluruh, kalau dilaksanakan secara bersasar jumlah itu jauh lebih kecil. Lagi pun, tahap kecairan bank sangat tinggi dan mampu untuk memberi moratorium bersasar.

“Kita mengakui bank mungkin akan mengalami ke­kurangan keuntungan tahun ini tetapi jumlah RM6.4 bilion itu sebenarnya bukan kerugian, cuma keuntungan tertunda.

“Kebarangkalian untuk bank berhadapan masalah sekiranya moratorium bersasar dilakukan pun sangat kecil, jadi ­sebenarnya tidak menjadi kebimbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tengku Zafrul ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam Sidang Parlimen semalam, memberitahu Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman atau moratorium automatik selama enam bulan.

Beliau berkata, kerajaan ­de­ngan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) tetap ­komited menawarkan perkara itu meskipun industri per­bankan ­dianggarkan berdepan jumlah kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium berlangsung.

Minggu lalu, dalam sesi ­Sidang Parlimen, Tengku Zafrul turut menjelaskan moratorium yang bakal berakhir September ini mungkin diganti dengan bantuan secara bersasar oleh pihak bank.

Ahli Ekonomi Kanan, ­Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli ­Amirullah pula berpandangan, moratorium secara bersasar sememangnya perlu dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam hingga 12 ­bulan akan datang.

Menurut Adli, tempoh enam bulan hingga satu tahun itu ­dianggap tempoh kritikal untuk rakyat terutama yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pe­nularan Covid-19 untuk bangkit ­semula mengatur hidup masing-­masing.

Beliau berkata, golongan ­berisiko tinggi seperti B40 dan M40 yang terkesan ­sehingga terpaksa menganggur atau ­pe­ngurangan gaji akibat ­keadaan ekonomi mendesak ketika ini wajar diberi perhatian untuk lanjutan moratorium.

“Kita perlu lihat konteks ­siapa yang betul-betul memanfaatkan moratorium sewaktu pelaksanaan menyeluruh ini, adakah B40, M40 atau pun golongan isi rumah berpendapatan tinggi (T20)? Se­memangnya B40 dan juga M40 amat memerlukan moratorium kerana mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi dalam tempoh mencabar ini.

“Saya kurang bersetuju jika moratorium dihentikan sepenuhnya kerana perkara itu perlu diubahsuai dan diberikan ­secara bersasar untuk memberi ­kelegaan kepada rakyat.

“Kita faham sektor kewangan mungkin akan menerima sedikit kerugian tetapi dalam tempoh pemulihan ekonomi, kerugian memang akan ditempuhi setiap sektor, bukan sektor perbankan sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.