MELAKA: Elemen hiburan dan pembelajaran menjadi identiti baharu kepada taman tema keluarga, Wonderpark Melaka di sini selepas lokasi tumpuan pelancongan itu selesai dinaik taraf baru-baru ini.
Ketua Pemasaran Wonderpark Melaka, Roy Sharul berkata, pihaknya mengimplementasikan konsep hiburan keluarga dengan menyatukan keseronokan tanpa had dengan pembelajaran kreatif bagi semua peringkat umur.
Beliau berkata, pelbagai pengalaman interaktif dan mencabar ditawarkan melalui lebih 30 permainan yang direka untuk memenuhi cita rasa dan keperluan setiap keluarga seperti Giant Playground Section hinggalah ke STEM4D Max Classroom.
“Projek naik taraf terbaharu juga membawa pelbagai tarikan baharu termasuk Candyworld Selfie Zone, kios foto kamera 360 darjah dan zon karaoke yang dipertingkatkan.
“Kita berusaha mewujudkan satu ruang yang bukan sahaja membolehkan seisi keluarga berseronok, tetapi juga memperkayakan minda mereka dengan pengalaman pembelajaran kreatif.
“Wonderpark Melaka juga komited menyediakan persekitaran yang selamat, menarik dan praktikal bagi mencetuskan rasa ingin tahu serta memupuk minat belajar dalam kalangan tetamu,” katanya kepada pemberita.
Tambah Roy, taman tema yang beroperasi di The Shore Shopping Gallery itu juga menyediakan pakej lawatan sambil belajar untuk para pelajar.
“Pakej ini melibatkan tiket masuk, satu hidangan makanan dan satu kit pendidikan yang mengandungi silibus untuk aktiviti-aktiviti ilmiah yang berlangsung di sekitar taman ini. Ia bukan sahaja menjanjikan lawatan sehari yang menyeronokkan, tetapi juga bermanfaat untuk pembelajaran mereka,” jelasnya. – UTUSAN









