21 kes serius susulan 1.6 juta dos vaksin kanak-kanak - Utusan Malaysia

21 kes serius susulan 1.6 juta dos vaksin kanak-kanak

GELAGAT kanak-kanak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi berumur lima hingga 12 tahun ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mac lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya 21 kes serius direkodkan susulan 324 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sehingga Jumaat lalu.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan, Dr. berkata, bakinya iaitu 303 laporan AEFI bersamaan 93.5 peratus bagi golongan itu adalah kesan tidak serius.

Katanya, antara kesan yang paling kerap dilaporkan termasuk demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala. 

“Bagi 20 daripada 21 laporan AEFI serius, memerlukan kemasukan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut dengan tujuh kes telah pulih sepenuhnya manakala 13 kes di dalam proses pemulihan. 

“Satu kes pula merupakan laporan kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dan masih dalam siasatan lanjut yang mana laporan awal memaklumkan bahawa kanak-kanak ini mempunyai sejarah penyakit sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roshayati berkata, sebanyak 1,698,221 dos vaksin telah diberikan kepada golongan itu melibatkan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection (Pfizer-BioNTech) dan vaksin CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated, sehingga 8 April lalu. 

Katanya, sebanyak 324 laporan AEFI bersamaan kadar 191 laporan bagi setiap sejuta dos manakala kadar pelaporannya lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan AEFI setakat ini iaitu 374 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Secara keseluruhannya, trend pelaporan AEFI tidak jauh berbeza dengan negara-negara rujukan regulatori malah tiada isu keselamatan yang dikesan di peringkat tempatan dan global.

“Kadar pelaporan AEFI di kalangan penerima vaksin golongan kanak-kanak di Malaysia iaitu 0.2 laporan bagi setiap 1,000 dos,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah setara dengan kadar pelaporan AEFI yang diterima bagi golongan sama di negara-negara lain contohnya di Kanada (0.2 laporan bagi setiap 1,000 dos) dan di Australia (0.7 laporan bagi setiap 1,000 dos).

“Kadar pelaporan AEFI yang lebih rendah di kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun berbanding penerima vaksin golongan dewasa turut dilaporkan di negara-negara ini,” katanya.

Tambahnya, kesan advers yang paling kerap dilaporkan di negara-negara tersebut adalah kesan ringan seperti sakit, bengkak, merah dan kegatalan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya