Kluster pendidikan, Melaka mungkin hentikan sesi persekolahan dan pengajian - Utusan Malaysia

Kluster pendidikan, Melaka mungkin hentikan sesi persekolahan dan pengajian

SMKA Sharifah Rodziah, Melaka yang mencetuskan Kluster Jalan Telok Mas. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gelombang Covid-19 yang melanda institusi pendidikan di Melaka dijangka terus memburuk selepas perayaan Tahun Baharu Cina, sekali gus memberi bayangan kemungkinan sesi persekolahan dan pengajian akan dihentikan sementara waktu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman ketika dihubungi berkata, setakat semalam seramai 671 pelajar dan guru daripada sembilan institusi pengajian dijangkiti wabak itu.

Jelasnya, terbaharu dua institusi pengajian dalam daerah Jasin turut diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Selandar dan Kluster Chinchin selepas 64 pelajar serta guru dikesan positif Covid-19.

“Semalam dua lagi kluster baharu direkodkan melibatkan Sekolah Menengah Agama JAIM As Syakirin dengan seramai 28 pelajar positif Covid-19 dan Institut Kemahiran Mara melibatkan 36 pelajar dan seorang guru positif.

“Kita tidak menolak kemungkinan kes ini akan terus meningkat selepas perayaan Tahun Baharu Cina dan sekiranya situasi itu berlaku, persekolahan dan institusi pengajian juga mungkin terpaksa ditutup buat sementara waktu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun keputusan untuk menutup institusi pendidikan itu adalah di peringkat Kementerian Pendidikan dan pihaknya akan membincangkan keperluan itu mengikut penelitian data yang direkodkan.

Mengulas lanjut mengenai penularan itu, beliau berkata, gelombang dikesan berlaku menerusi pelajar atau indeks kes yang menetap di luar asrama dan dijangkiti Covid-19 secara sporadik.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membincangkan mengenai inisiatif pengawalan wabak itu bersama Jawatankuasa Pengurusan dan Pemulihan Covid-19 negeri.

“Kami masih pantau perkembangan di semua institusi pendidikan dan mereka (Jabatan Pendidikan Negeri) telah ada perancangan masing-masing, bagaimana untuk elakkan kluster baharu selepas musim perayaan ini.

“Dalam masa sama, perbincangan mengenai kawalan penularan sedang berlangsung bersama Jawatankuasa Pengurusan dan Pemulihan Covid-19 negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Zaidi Attan,” katanya.

Sehingga kini sebanyak sembilan institusi pendidikan di Melaka mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kemendor (Kolej Vokasional Melaka Tengah) dan Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2 (Universiti Teknikal Malaysia Melaka). 

Kluster Jalan Telani (Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin), Kluster Jalan Pengkalan Batu (SMKA Sultan Muhammad), Kluster Jalan Telok Mas (SMKA Sharifah Rodziah), Kluster Paya Lebar (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) dan Kluster Jalan Sungai Air Hitam (Sekolah Tahfiz Pusat Bimbingan Al-Islah).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya