fbpx

Kemunculan Omicron cabar dunia lebih cakna kekang Covid-19 – Khairy

KHAIRY Jamaluddin ketika berucap pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland hari ini. – WHO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masyarakat antarabangsa ketika ini perlu bertindak pantas dan bekerjasama serius memperbaiki sistem penjagaan kesihatan awam dalam menangani wabak Covid-19.

Demikian gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EB) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland hari ini.

“Pengukuhan implementasi dan pematuhan kepada Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 mestilah jadi keutamaan besar dan Malaysia mendokong segala usaha ke arah itu,” katanya dalam penampilan julung kali mengetuai delegasi negara setelah Malaysia dilantik sebagai ahli EB WHO bagi rantau Pasifik Barat selama tiga tahun bermula tahun lalu.

Mesyuarat yang bermula hari ini sehingga Sabtu depan turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan kementerian tersebut.

Sesi berkenaan turut dihadiri menteri-menteri kesihatan dan ketua-ketua agensi kesihatan awam dari pelbagai negara mewakili rantau masing-masing serta pakar-pakar yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Khairy menyokong langkah penubuhan badan perundingan antara kerajaan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik yang lebih bersepadu.

“Kita perlu bekerjasama untuk struktur semula arkitektur kesihatan global kepada lebih telus, inklusif, saksama dan cakna akauntabiliti bagi elak isu ketidakadilan dua tahun lalu. Justeru tahun ketiga wabak itu tidak lagi bersifat sekatan pergerakan rakyat untuk bebas merentasi sempadan, sebaliknya opsyen pengurusan komuniti termasuk vaksinasi.

“Warga dunia sudah letih berdepan dengan rentak tidak tentu rejim pengawalan dan ini terbukti apabila varian baharu Omicron tetap muncul di sebalik pelbagai cara protokol ketat. Varian terkini itu bukanlah penamat permainan, bahkan memerlukan dunia bertindak segera khususnya isu pengagihan bekalan imunisasi tidak senjang yang sepatutnya berakhir. Tanpa solusi masalah kejatuhan nilai kemanusiaan terbesar ini, tidak mustahil banyak varian baharu akan muncul dan menular pantas menyerang mereka yang belum divaksin,” katanya.

Khairy turut berkongsi kisah pengalaman kejayaan Malaysia dalam mengekang jangkitan secara pendekatan menyeluruh melibatkan pihak kerajaan dan swasta selain badan sukarela lain malah pemahaman kepentingan perkongsian data masa sebenar dengan memanfaatkan teknologi telah membantu Malaysia menilai risiko dengan maklumat amat tepat.

“Segala rekod integrasi itu turut dapat diakses pelbagai negara, sekali gus mengurangkan khilaf pemahaman dalam kalangan masyarakat dan berjaya meningkatkan kesedaran pelalian. Kita perlu berkongsi amalan terbaik penggunaan teknologi selain aplikasi kecerdasan buatan bagi mudah kesan kontak, memudah cara kuarantin dan pengesahan vaksinasi,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI