GEORGETOWN: Jika dahulu pesakit Covid-19 bukan sahaja dijauhi tetapi ada yang memandang serong dengan penyakit yang dihidapi mereka.
Bagaimanapun, bekas pesakit Covid-19, Nor Mazlina Omar, 38, kini bersyukur, keadaan itu berubah apabila kebimbangan disisihkan tidak wujud lagi dalam kalangan pesakit.
“Saya yang positif Covid-19 masih terus dikelilingi jiran dan saudara-mara yang prihatin serta boleh menerima hakikat bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19.
“Perasaan selepas disahkan positif pada 26 September lalu begitu menggerunkan apatah lagi memikirkan keadaan keluarga, anak kecil yang terpaksa ditinggalkan di rumah.
“Lebih menakutkan memikirkan bagaimana harus menjalani kehidupan sebaik pulang nanti dan berdepan jiran,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Cerita Nor Mazlina, suaminya yang bekerja sebagai operator kilang, Nassir Mat Saat, 39, disahkan positif wabak itu pada 22 September lalu selepas demam dan sakit kepala teruk.
“Saya dan anak, Nor Wardah Eryna yang berusia empat tahun disahkan negatif, namun tetap menjalani kuarantin di rumah,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Nor Mazlina, empat hari kemudian, dia dan anaknya berasa tidak sedap badan sebelum mereka disahkan turut positif.
“Saya diminta menjalani kuarantin di HPP berikutan penyakit asma yang dihidapi termasuk berat badan yang berlebihan,”‘ ujarnya.
Ujar anak sulung daripada tiga beradik itu, dia bersyukur kerana telah pulih dan menganggap diberikan peluang kedua untuk hidup dan bertemu semula dengan keluarga.