89 peratus pelajar tajaan Mara kalangan B40 - Utusan Malaysia

89 peratus pelajar tajaan Mara kalangan B40

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) adalah daripada golongan B40 yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga 30 September 2021, Mara telah menaja seramai 50,555 pelajar merangkumi 44,994 (89 peratus) daripada golongan B40, 5,055 (10 peratus) daripada M40 dan 506 (satu peratus) daripada T20.

“Mara sejak dahulu lagi mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi akses kepada pendidikan yang lebih baik.”

“Melalui program penganjuran pelajaran Mara ini, ia merupakan strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin dan luar bandar, tetapi turut menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi dan industri,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambah Mahdzir, pelaksanaan dasar itu telah bermula di peringkat pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan juga Program Penajaan Pelajaran.

Terdahulu, Mara menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula dari program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (Ph.D).

Penajaan tersebut termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran dan program-program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan. 

Menjelaskan perkara itu, Mahdzir berkata, bagi tahun 2021, Mara menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baharu.

“Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosioekonomi (SES) keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, ko-kurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih. Mara mengutamakan program pengajian dalam universiti terbaik dunia.”

 “Peratusan itu juga jelas menunjukkan bahawa pihak KPLB bersama Mara sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40 sekaligus menafikan dakwaan tajaan Mara lebih mengutamakan pelajar dari keluarga T20. Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk Mara terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN