PUTRAJAYA : Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membekalkan kemudahan kit ujian kendiri Covid-19 di bawah Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan kepada majikan yang melaksanakan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja-pekerja mereka.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penyediaan kit tersebut bertujuan membantu golongan majikan melaksanakan ujian saringan Covid-19 dengan lebih mudah dan pantas.
Katanya, Perkeso sebelum ini membekalkan kit ujian saringan jenis Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada majikan yang menjalankan proses saringan Covid-19 pekerja mereka, bermula 6 September lalu.
“Menerusi program ini, majikan bertanggungjawab untuk menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 ini bersama klinik pilihan mereka, selain perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan tersebut.
“Setakat ini, Perkeso menerima 230,000 permohonan daripada majikan bagi mendapatkan kit ujian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, majikan yang belum membuat permohonan boleh memilih jenis kit ujian sama ada Rapid Test Kit (RTK) Antigen iaitu boleh dilakukan secara profesional oleh klinik atau kit ujian kendiri Covid-19 yang boleh dilakukan sendiri oleh pekerja.
Tambahnya, kit-kit ujian ini akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan Perkeso.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, KSM berharap pelaksanaan program ini akan mengurangkan bebanan dan memberikan kemudahan kepada majikan menunaikan tanggungjawab mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja, sekali gus membantu kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara.
Katanya, maklumat lanjut termasuk proses permohonan berhubung Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan ini boleh diperoleh di laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my dan Portal Program Saringan Prihatin di psp.perkeso.gov.my. -UTUSAN ONLINE