TAMPIN: Gelagat pelakon, Sharisa Haris dengan kostum karakter Maleficent ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Rembau, bagi mendapat dos kedua vaksin Covid-19 menarik perhatian ramai.
Sharisa berkata, dia berpakaian sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan orang ramai terutamanya petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.
Menurutnya, keputusan memakai kostum berkenaan juga dibuatnya selepas dia rindu untuk kembali menghiburkan orang ramai memandangkan kali terakhir dia terbabit dalam aktiviti penggambaran adalah pada penghujung tahun 2019 menerusi drama bersiri Adellea Sofea.
“Rasa rindu nak hiburkan orang ramai, jadi, saya fikir, untuk dos kedua pagi ini saya tampil dengan kelainan memakai kostum Maleficent. Kostumnya saya jahit sendiri, tanduknya pula saya beli secara dalam talian dan tongkatnya saya beli di kedai RM2, solekan juga saya buat sendiri.
“Sebaik sampai sahaja, banyak yang kelihatan teruja, malah, ada juga petugas PPV terdiri daripada pasukan paramedik ingin merakamkan kenangan untuk dikongsikan bersama keluarga masing-masing,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Sharisa berkata, pemilihan kostum berkenaan adalah kerana dia sangat meminati pelakon, Angelina Jolie yang baginya bukan sahaja berbakat dalam lakonan tetapi juga sentiasa melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
Sementara itu katanya, dia kini meneruskan perniagaan keluarga iaitu kedai makanan, Mama Nor Yong Tau Foo di Dataran Arena Tampin, dekat Tampin.
“Perniagaan ini dimulakan oleh nenek saya di Stesen Keretapi Tampin dan saya membuat penjenamaan semula dengan lokasi baru pada tahun 2017,” katanya yang turut memberitahu melakukan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan dan individu memerlukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










