Jawatan kuasa komuniti Perlis digerakkan cegah Covid-19 - Utusan Malaysia

Jawatan kuasa komuniti Perlis digerakkan cegah Covid-19

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kiri) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs sempena program Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-38 2021 di Masjid Nurus Salam, Behor Mentalon, Guar Sanji, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jawatan kuasa komuniti setempat di seluruh negeri ini perlu digerakkan sebagai penyelaras aktiviti pencegahan wabak dan pemantau amalan norma baharu di kawasan masing-masing berikutan trend penularan Covid-19 di Perlis semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemantauan dan aktiviti pergerakan keluar masuk pelawat serta penduduk setempat perlu diperketatkan selain sentiasa memastikan komuniti turut mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

Selain itu, titah baginda, ketua-ketua jawatan kuasa komuniti setempat juga perlu mengingatkan penduduk supaya tidak bersikap sambil lewa atau cuai selain perlu menghebahkan mengenai langkah-langkah pencegahan Covid-19.

“Pada masa sama, berikanlah motivasi kepada ahli masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kelaziman baharu demi kebaikan semua, terutamanya keluarga tersayang,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-38 2021 di Masjid Nurus Salam, Behor Mentalon, Guar Sanji di sini hari ini.

Pada program itu, baginda menyerahkan bantuan kepada amil masjid tersebut, Aziz Ibrahim untuk diagihkan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan dengan setiap seorang menerima RM700 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,000.

Hadir sama mengiringi baginda, Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim yang turut hadir pada majlis itu memohon kerjasama orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kegiatan berisiko seperti aktiviti berkumpulan yang tidak dibenarkan atau tidak mematuhi norma baharu.

“Malah, laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes disyaki Covid-19 di kawasan masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN