SEREMBAN: Sebanyak 85 peratus atau 54,867 pekerja sektor industri di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) yang dibuka di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, daripada jumlah pekerja tersebut, sebanyak 28,938 orang telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.
“Program vaksinasi untuk pekerja industri di Negeri Sembilan berjalan lancar di mana majoriti pekerja iaitu sekitar 85 peratus daripada rekod keseluruhan 73,000 pekerja industri di Negeri Sembilan telah memperoleh vaksin dos pertama.
“Jadual yang dirangka untuk memperoleh vaksin penuh untuk keseluruhan pekerja industri di Negeri Sembilan menjelang pertengahan September 2021 dijangka berjalan sebagaimana dirancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad Rafie, PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga Ahad lalu telah memberi 39,002 suntikan dos pertama dan 28,938 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.
“Manakala PPV Pikas D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos pula telah memberi suntikan dos pertama kepada 15,865 pekerja setakat semalam,” katanya.
“Di samping di PPV-Pikas, ramai juga pekerja industri di Negeri Sembilan yang telah menerima suntikan vaksin di PPV Awam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Tambah beliau, usaha untuk memastikan setiap premis sektor perindustrian memperoleh pencapaian 100 peratus suntikan vaksin adalah untuk membolehkan sektor perindustrian beroperasi semula secara optimum. -UTUSAN ONLINE