IPOH: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak menyasarkan untuk memberi sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 kepada 42,363 masyarakat Orang Asli di negeri ini menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Jakoa Perak dan Kedah, Harulnizam Abd. Rahman berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berikutan sambutan positif komuniti itu setiap kali program jangkauan komuniti atau ‘outreach’ diadakan.
Malah, katanya, program berkenaan juga dilihat berkesan apabila ramai Orang Asli pelbagai peringkat usia tampil secara sukarela untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Seramai 42,363 Orang Asli berusia 18 tahun ke atas di Perak layak menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 3,518 orang telah divaksin dengan 1,337 daripadanya lengkap dua dos suntikan.
“Kita yakin dengan sambutan baik yang diterima menerusi program outreach, peratusan penerima vaksin akan meningkat sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Outreach Vaksinasi masyarakat Orang Asli negeri Perak di Dewan Komuniti Kampung Chadak dekat Ulu Kinta di sini hari ini.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asli kini tidak lagi takut untuk disuntik vaksin seperti ketika peringkat awal pengenalan vaksin Covid-19, sebaliknya lebih yakin setelah menyedari kepentingan suntikan berkenaan.
Katanya, rata-rata mereka menjadikan komuniti setempat, saudara mara dan ahli keluarga yang telah menerima suntikan sebagai rujukan.
“Jika dulu, mereka takut tetapi sekarang mereka pula menunggu untuk divaksin. Mereka ini kebanyakannya mengambil sikap tunggu dan lihat. – UTUSAN ONLINE










