LANGKAWI: Pusat Pemberian vaksin (PPV) ketiga di pulau peranginan ini akan dibuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini pada 17 Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Program Vaksinasi Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, pembukaan PPV ketiga itu bagi mempercepat kadar penerimaan vaksin dalam kalangan penduduk di sini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan pulau ini mencapai imuniti kelompok pada September nanti.
Menurutnya, PPV yang baharu itu mampu menampung seramai 3,000 orang penerima vaksin sehari.
“PPV di LICC itu merupakan yang pertama dibuka Langkawi dengan konsep integrasi iaitu kerjasama antara jabatan kerajaan dan pihak swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan air mineral dan pelitup muka daripada MC Gemilang Sdn. Bhd. untuk diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini hari ini.
Dua PPV yang dibuka di pulau ini sebelum ini ialah di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Dewan Syifa di sini yang dikendalikan oleh kerajaan sepenuhnya.
Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi memberitahu, sebanyak 29,250 dos vaksin Covid-19 dijangka diterima di daerah ini pada 14 Julai ini dan 31,500 dos lagi diterima pada 21 Julai. – UTUSAN ONLINE










