Percepat vaksin Covid-19 kepada penjaja, peniaga kecil - Utusan Malaysia

Percepat vaksin Covid-19 kepada penjaja, peniaga kecil

JAGDEEP Singh Deo ketika meninjau prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di Pasar Awam Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri berharap pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada peniaga dan penjaja kecil di negeri ini dapat dipercepatkan bagi melindungi mereka daripada terdedah kepada risiko penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, peniaga dan penjaja kecil di negeri ini merupakan golongan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai bagi mencari rezeki.

“Permohonan mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan peniaga dan penjaja kecil ini telah dibuat sebelum ini.

“Kami berharap Kerajaan Pusat dapat membantu urusan peniaga dan penjaja kecil mendapatkan vaksin Covid-19 ini kerana masih ramai antara mereka belum menerimanya walaupun telah mendaftar menerusi MySejahtera,” katanya selepas meninjau Pasar Chowrasta, di sini hari ini.

Menurut Jagdeep, Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin dengan jumlah yang lebih tinggi selepas ini dan berharap keutamaan dapat diberikan kepada kumpulan peniaga dan penjaja kecil.

Dalam pada itu Jagdeep berkata, fasa pertama Penang Saring Covid-19 (PSC19) melibatkan 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) telah selesai dan akan memasuki fasa kedua bermula 30 Julai hingga 22 Ogos ini.

“Program PSC19 seterusnya akan diteruskan di 24 DUN dan diharapkan lebih ramai rakyat yang akan tampil menyertai program ini,” katanya.

Tambahnya, seramai 13,309 individu telah mendaftar untuk menyertai PSC19 dan 11,330 individu telah disaring menerusi program itu yang bermula awal bulan ini.

Daripada jumlah itu jelasnya, seramai 10,929 (96.46 peratus) adalah negatif manakala kira-kira 126 (1.11 peratus) dikesan positif Covid-19 menerusi ujian PCR yang dijalankan.

“Kita juga masih menunggu keputusan saringan di beberapa lokasi dan ujian ini perlu terus dijalankan untuk mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN