Perak sasar beralih fasa ketiga program imunisasi - Utusan Malaysia

Perak sasar beralih fasa ketiga program imunisasi

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak menyasarkan beralih ke fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya bekalan baru vaksin sebanyak 688,000 yang dijadualkan diterima bulan ini.

Menurutnya, beberapa strategi dilaksanakan melalui Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Perak di samping menetapkan lebih ramai rakyat berusia 18 tahun ke atas menerima vaksin dos kedua.

“Bagi mempercepat program vaksinasi, kerajaan negeri membuka dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu iaitu di PPV Proton di Tanjung Malim dan PPV Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar.

“Kerajaan negeri juga mencadangkan pembukaan Mega PPV Pandu Lalu di Lost World of Tambun dengan jangkaan penggunaan maksimum antara 89 hingga 94 peratus iaitu meliputi sasaran kadar suntikan antara 5,000 hingga 7,700 sehari,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Menurutnya, tiga PPV khas untuk industri melibatkan tiga daerah iaitu Manjung, Kinta serta Larut Matang dan Selama turut akan dibuka.

Beliau berkata, program Jangkauan Komuniti atau Outreach, pasukan Agen Basmi Covid-19 akan digerakkan ke lokasi yang merekodkan kadar pendaftaran vaksin yang rendah terutamanya di kawasan pedalaman atau lokasi yang tiada kemudahan telefon atau liputan internet.

Katanya, sehingga semalam seramai 1,235,218 orang atau 66.3 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas sudah membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya bekalan vaksin tiba seperti dijadualkan, Perak mampu merekodkan kadar suntikan sebanyak 24,000 sehari dan jumlah itu boleh mencapai sehingga 30,000 sehari jika menerima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini.

“Kita juga akan mewujudkan lebih banyak kolaborasi dengan pihak hospital dan klinik swasta untuk terlibat dalam program vaksinasi.

“Setakat ini seramai 402,234 orang telah menerima suntikan pertama manakala 239,147 orang telah lengkap menerima dua suntikan vaksin di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN