ALOR SETAR: Beberapa isu yang timbul berkaitan pemberitahuan suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera menggambarkan kegagalan pengurusan vaksinasi ketika ini.
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, antara rungutan yang pernah diterimanya berhubung perkara itu adalah notifikasi terlalu lewat hingga individu yang sepatutnya menerima vaksin, tidak sempat membuat persediaan.
“Tiada mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pemberitahuan lewat itu mendatangkan masalah hingga menyebabkan mereka yang tiada kenderaan, tidak sempat mengaturkan pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).
“Selain itu, banyak juga aduan menyatakan penduduk Kedah menerima janji temu di negeri lain antaranya Perak, Selangor, malah Sabah. Pagi tadi pun, saya menerima panggilan dari seorang individu mengatakan dia mendapat janji temu di Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, beliau dimaklumkan baru-baru ini, terdapat lebih 100 individu tidak hadir untuk disuntik vaksin di Langkawi walaupun mereka telah diberikan tarikh janji temu.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan dan tidak mustahil mereka itu tidak hadir disebabkan dua faktor tersebut.
“Mungkin 100 individu yang tidak hadir itu bukan mereka yang menetap di Langkawi, sebaliknya orang ‘luar’ dari pulau legenda tersebut,” katanya.
Kok Yew berkata, jika masalah tu berterusan, adalah lebih baik jika sistem sedia ada ditukar menggunakan cara manual menerusi pelaksanaan janji temu setempat.
Cara itu, katanya, lebih berkesan terutamanya di kawasan pedalaman khususnya melibatkan suri rumah, warga tua, golongan yang uzur serta individu yang tidak mempunyai pengangkutan.
“Tumpukan saja kepada lokaliti setempat kerana dengan cara itu, tiada siapa yang terpinggir dan ‘pening’ berbanding sistem sekarang. Aturkan kerjasama melibatkan wakil penduduk atau ketua kampung di mana waktu pendaftaran dan suntikan dibuat bersekali agar tiada pembaziran vaksin dan tiada individu yang ketinggalan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini bahawa lebihan vaksin dari PPV di Langkawi akan dibawa ke tanah besar sebagai sesuatu yang tidak adil untuk penduduk di pulau legenda itu.
“Itu sesuatu yang tidak adil memandangkan peratusan vaksinasi masih lagi rendah di Langkawi berbanding sasaran untuk membuka sektor pelancongan di pulau tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE