Malaysia antara vaksinasi terpantas - Utusan Malaysia

Malaysia antara vaksinasi terpantas

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berjaya menjadi antara negara terpantas di dunia melaksanakan vaksinasi walaupun bermula dengan agak perlahan pada awalnya.

Memetik laporan The Sydney Morning Herald, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan dapat mempercepat proses vaksinasi selepas rundingan semula dua bulan lalu diadakan dengan pembekal untuk mendapatkan bekalan serta penghantaran vaksin yang 70 peratus daripadanya adalah Pfizer BioNtech (Pfizer).

Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas kerajaan melihat usaha perlu diperluaskan dan tidak tertumpu kepada satu atau dua kaedah.

“Sebelum ini sebilangan besar portfolio vaksin kami adalah Pfizer dan kemudian kami menyebarkan kepada jenis lain.

“Kita sekarang berada di tahap dimana ia benar-benar menjadi keperluan untuk mengambil suntikan vaksin dengan situasi yang dialami,” jelasnya.

Selain Pfizer, Malaysia juga memperoleh bekalan vaksin Sinovac; AstraZeneca dan vaksin satu dos CanSino.

Laporan itu berkata, selepas permulaan yang agak perlahan, seperempat penduduk Malaysia kini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan sasaran Malaysia untuk mencapai 40 peratus vaksin diberi sepenuhnya kepada akhir Ogos dan 60 peratus pada akhir September jika pembekal memenuhi komitmen.

Di bawah perjanjian rundingan semula Malaysia dengan Pfizer, syarikat gergasi farmasi Amerika menghantar 25 juta dos antara bulan ini dan September.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pemimpin merosakkan kredibiliti perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di negara ini.

“Saya rasa dari sudut itu, kita telah melakukan beberapa kesilapan,” jelasnya.

Khairy dalam masa yang sama turut memberitahu, pelanggaran SOP dalam kalangan pemimpin turut membuatkan orang ramai lesu dan sukar mematuhinya.

“Selepas beberapa lama, amat sukar untuk membuatkan orang awam patuh terhadap SOP hanya kerana lesu. Saya bukan salahkan orang ramai,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN