PUTRAJAYA: Bermula hari ini, sejumlah 162,822 dos vaksin Covid-19 dapat diberi setiap hari menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dikelolakan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia melibatkan kerjasama awam dan swasta termasuk sebanyak 1,000 pengamal perubatan am swasta dari seluruh negara.
“Sasaran itu sudah pun dicapai sebelum berakhir bulan lalu selain melalui enam model PPV yang dilaksanakan ProtectHealth dengan setakat ini sudah ada 1,230 buah premis,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan laporan Skim Peduli Kesihatan B40 secara maya yang juga dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.
ProtectHealth ialah anak syarikat yang tidak berasaskan keuntungan milik penuh kementerian diperbadankan pada 2016 lalu serta terlibat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ia turut meringankan beban kapasiti kesesakan PPV yang dikendalikan oleh kementerian itu selain Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diperkenalkan pada 12 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Adham berkata, PPV diuruskan ProtectHealth ketika ini juga meliputi klinik pakar, hospital swasta, pusat jagaan ambulatori swasta, integrasi, industri dan AstraZeneca.
“Pencapaian pada masa ini adalah 46 peratus iaitu melebihi jumlah vaksinasi yang disasarkan sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan dos diberikan dalam PICK,” tambah beliau.
Bagi sasaran kapasiti dos harian ujarnya, ProtectHealth sudah mencatatkan sasaran lebih 80,000 dos sebelum Jun lalu, malah, telah melepasi 110,000 dos sehari pada akhir bulan lepas.
Pada masa sama, ia akan membuka lebih 30 lagi PPV integrasi berskala besar sebelum 19 Julai ini bersama-sama pihak kementerian itu dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Langkah tersebut jelasnya, dijangka membolehkan kapasiti vaksinasi ditingkatkan kepada 60 peratus daripada keseluruhan sasaran dalam PICK untuk dicapai menjelang hujung Ogos ini.
Kementerian itu, kata Adham, telah menambah skop ProtectHealth untuk melibatkan kerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan dalam misi pemberian vaksin di seluruh negara.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini, Selangor paling banyak PPV perubatan am iaitu 318, diikuti Johor (138), Sarawak (81), Perak (66), serta Pulau Pinang dan Kedah masing-masingnya 43 pusat.
Setakat semalam, lebih sembilan juta rakyat Malaysia sudah menerima dos vaksin termasuk 19.6 peratus daripada keseluruhan populasi negara merupakan penerima dos kali pertama. -UTUSAN ONLINE










