KUANTAN: Seorang ibu yang baharu melahirkan cahaya mata pertama berdepan detik cukup menyedihkan apabila terpaksa berpisah selama 19 hari dengan anak lelakinya kerana dia disahkan positif Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 26, berkata, setelah selamat bersalin pada 30 Jun lalu, dia tidak dapat menyentuh dan menatap wajah anaknya, Muhamad Zayyan Ihtisyam secara berdepan kerana wad kanak-kanak pada waktu itu terpaksa dikuarantin sehingga 8 Julai lalu atas sebab tertentu.
Menurutnya, pada 2 Julai lalu, dia dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan perasaannya ketika itu cukup sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak sulungnya.
“Saya berpantang di rumah emak dan pada 5 Julai lalu, emak disahkan positif Covid-19 dan saya melakukan ujian calitan pada hari yang sama. Pada 8 Julai lalu, keputusan ujian saya juga positif Covid-19.
“Lepas itu, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana melindungi anak lelaki sulung saya apabila anak tidak dibenarkan pulang bersama.
“Namun perasaan sedih tetap ada apabila saya terpaksa berpisah lagi dengan anak kerana perlu melaksanakan tempoh kuarantin selama 10 hari di Kolej Jururawat HTAA, perasaan sedih waktu itu hanya Allah SWT yang tahu, cukup hebat saya diuji.
“Bukan saja tidak dapat menatap wajah anak dan terpaksa berpisah selama 19 hari, malah diuji dengan saya, emak, abang dan dua adik disahkan positif Covid-19,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut, Nurul berkata, setelah tamat tempoh kuarantin selama 10 hari dan dibenarkan pulang, perasaannya ketika itu cukup gembira kerana tidak sabar bertemu dengan anak sulungnya.
“Sebaik sahaja sampai di rumah, saya tenung muka anak lama-lama kerana sejak dilahirkan saya tidak pernah menatap wajahnya secara berdepan.
“Pada waktu itu saya tidak berani untuk menyentuhnya lagi kerana baru sahaja habis kuarantin,” katanya.
Nurul dalam pada itu berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semua ahli keluarganya yang positif wabak Covid-19 telah pulih sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE










