#FreeRideToVac bantu lancarkan urusan Halimah ke PPV - Utusan Malaysia

#FreeRideToVac bantu lancarkan urusan Halimah ke PPV

MUHAMMAD Abdullah (berbaju merah) mengangkat ibunya, Halimah Saad ketika tiba di PPV Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang untuk menerima vaksin menaiki kenderaan percuma yang disediakan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Sebelum ini, kami adik-beradik risau memikirkan bagaimana hendak bawa ibu ke tempat mengambil vaksin memandangkan ibu tidak boleh berjalan. Mujurlah, segala urusan kami dipermudahkan dengan adanya khidmat pengangkutan percuma ini.”

Itu kata Muhammad Abdullah, 45, yang ditemui ketika menemani ibunya, Halimah Saad, 88, ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Milenium, di sini hari ini.

Menurut Muhammad, iklan pengangkutan percuma oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk penerima vaksin itu dilihat kakaknya sebelum mengambil keputusan mendaftarkan ibu mereka di bawah program berkenaan.

Kata Muhammad, dia bersyukur kerana ibunya juga bersetuju menaiki kenderaan tersebut dan kelihatan ceria sejak awal pagi untuk menerima suntikan walaupun keadaannya yang uzur dan terpaksa berkerusi roda.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan ibu saya,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Dalam pada itu Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq memberitahu, inisiatif pengangkutan percuma untuk penerima vaksin di bawah program PERDA4U #FreeRideToVac tersebut bermula sejak 21 Jun lalu dan merupakan salah satu daripada usaha pihaknya mencapai sasaran optimum untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Katanya, selain individu yang tidak berkemampuan dan tidak memiliki kenderaan, mereka turut mengutamakan golongan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) khususnya yang tinggal dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU).

“Jika sambutan yang kita terima menggalakkan, insya-Allah program ini akan diperluaskan pula ke daerah-daerah lain di Pulau Pinang selepas ini,” katanya.

Jelas Khaliq, selain program PERDA4U #FreeRideToVac, pihaknya turut melancarkan program PERDA4U #JomDaftarVaksin yang dijalankan secara kaunter bergerak ke hampir semua daerah di negeri ini.

“Sambutan yang kita terima untuk program kedua ini juga sangat menggalakkan dengan tidak kurang 50 orang mendaftar untuk menjadi penerima vaksin di setiap lokasi yang kita singgah,” ujar beliau.

Difahamkan, bermula bulan ini, beberapa lokasi baharu telah dikenal pasti untuk tujuan itu termasuk di Sungai Duri dan Sungai Acheh di Seberang Perai Selatan (SPS); Bukit Teh di Seberang Perai Tengah (SPT); Teluk Bahang di Barat Daya dan Kubang Menerong serta Ekor Kucing di SPU. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN