Covid-19: Kes naik mungkin disebabkan kluster korban - Utusan Malaysia

Covid-19: Kes naik mungkin disebabkan kluster korban

SAARANI Mohamad (kiri) menyampaikan kotak makanan kepada nelayan darat di Lenggong hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan peningkatan kes positif Covid-19 di Perak sejak beberapa hari ini disebabkan oleh kluster Hari Raya Aidiladha.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kehadiran individu untuk ibadah korban kemungkinan menyebabkan penularan wabak Covid-19.

“Tidak mustahil ada kluster korban (Hari Raya Aidiladha) sebab orang balik ke kampung dan melakukan ibadah korban.

“Barangkali pertemuan-pertemuan itu menyebabkan jangkitan, dalam tempoh 14 hari, (jangkitan) boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Kotak Makanan Nelayan Darat Daerah Lenggong anjuran Jabatan Perikanan Perak di Pusat Pekasam Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jumlah kes baharu positif Covid-19 di Perak yang menunjukkan peningkatan di mana sebanyak 810 kes baharu direkodkan semalam berbanding 596 kes kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini juga disebabkan faktor ujian calitan yang diadakan secara besar-besaran terhadap penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Apabila kerajaan negeri bersetuju menggunakan Ujian Kit Pantas Antigen (RTK Ag) untuk ujian calitan di semua kawasan panas, maknanya, ramai yang akan menjalani ujian calitan dan ramai juga yang dikesan (positif).

“Bagi saya, tiada masalah, peningkatan (kes positif) ini sudah tentu ada. Apa yang penting, lagi cepat kita kesan adalah lebih baik untuk kita segera perbaikinya,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan kes positif itu bagaimanapun tidak memberi impak kepada fasiliti kesihatan khususnya katil dan tong oksigen ekoran kebanyakan daripada mereka adalah pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang keadaan kritikal berikutan penularan wabak berkenaan.

“Mereka yang positif ini bukan semuanya berada di ICU. Jika berada pada kategori satu dan dua, mereka hanya kuarantin di rumah masing-masing.

“Jika dalam kategori empat dan lima (memerlukan oksigen dan bantuan pernafasan), kita akan hantar ke hospital untuk ditempatkan di ICU,” katanya.

Sementara itu, mengulas ura-ura menjadikan Hospital Sungai Siput sebagai hospital untuk merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya, Saarani berkata, belum ada sebarang keputusan rasmi berhubung perkara itu.

“Sekarang belum ada keputusan. Itu barangkali cadangan dan persiapan jika ia (keadaan kritikal) berlaku. Buat masa sekarang belum ada ketetapan rasmi tetapi persiapan sememangnya ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN