Bekalan vaksin ke Perak perlahan - Utusan Malaysia

Bekalan vaksin ke Perak perlahan

SAARANI Mohamad melawat PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Hotel Casuarina Meru di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sasaran untuk mencapai kadar 40 peratus rakyat negeri ini menerima dos kedua vaksinasi Covid-19 mungkin terganggu disebabkan bekalan vaksin agak perlahan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehingga 21 Julai lalu, hanya 10.8 peratus penduduk di negeri ini menerima dos kedua.

Menurutnya, jika bekalan vaksin Covid-19 ke negeri ini tidak dipercepatkan, ini akan mengganggu peralihan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, bekalan vaksin penting bagi membolehkan negeri ini mencapai kadar 40 peratus bagi dos kedua vaksinasi yang ditetapkan kerajaan untuk mencapai nilai ambang peralihan Fasa Dua ke Fasa Tiga PPN.

“Keadaan ini menyebabkan kita rasa ralat sedikit sebab dari segi kes, kita rendah dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga mencukupi.

“Syarat untuk mencapai kadar vaksinasi 40 peratus itu bukanlah disebabkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau jentera yang tidak cukup, tetapi, hanya disebabkan vaksin yang sampai kepada kita tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di sini hari ini.

Saarani berharap kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mempercepatkan proses pembekalan vaksin Covid-19 ke negeri ini seperti yang dijadualkan.

Katanya, difahamkan pemberian vaksin itu tertakluk kepada situasi semasa di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan keutamaan diberi kepada negeri-negeri yang angka jangkitannya semakin meningkat.

“Setakat ini, Perak telah menerima 452,610 dos vaksin daripada 688,760 dos yang dijadualkan dan kita harap dapat menerima keseluruhan jumlah tersebut sebelum akhir bulan ini.

“Persiapan kita berada pada tahap maksimum, jika vaksin diberikan, kerajaan negeri mampu melaksanakannya untuk memastikan lebih cepat dan lebih ramai dapat diberikan vaksin. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan perasaan kami dan melegakan rakyat,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan bagi membolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU pada tahap selamat dan kes harian Covid-19 berada di bawah angka 2,000.

Sementara itu, Saarani berkata, Perak telah pun membuka tiga PPV Industri masing-masing di Kompleks Sukan Proton yang beroperasi pada 12 Julai lalu dan PPV di Hotel Casuarina Meru serta Sapura Fabrication Sdn Bhd pada 21 Julai lalu.

“Menerusi program PIKAS, kerajaan negeri menyasarkan seramai 20,340 pekerja akan mendapatkan suntikan vaksin dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya