PUTRAJAYA : Terdapat sesetengah penganalisis luar negara yang memberi gambaran tidak tepat dalam membuat analisis dan perbandingan terhadap
Malaysia berhubung program vaksinasi kerana tidak menggunakan fakta terkini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, misalnya maklumat daripada sebuah ‘vaccine tracker’ pada bulan April lalu yang mengunjurkan Malaysia mengambil tempoh masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75 peratus populasi.
Menurutnya, bagaimanapun sekiranya ‘tracker’ yang sama dibuka pada hari ini, tempoh 4.9 tahun itu telah berubah menjadi lima bulan.
“Unjuran lima bulan ini adalah berdasarkan 262,000 dos sehari manakala jika berdasarkan 375,000 dos sehari, jangkaan 75 peratus vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
“Ketika ‘tracker’ tersebut menerbitkan unjurannya pada bulan April, kerajaan telah pun mengeluarkan peta perancangan vaksinasi, namun, maklumat itu tidak digunakan dalam analisis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara ini menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu adalah tidak baik dan analisis data secara selektif seperti ini tidak memberi gambaran realiti sebenarnya serta boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat.
“Walaupun kini pihak tersebut telah memperbetulkan maklumat itu, tetapi penyebaran maklumat yang tidak tepat telah pun berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan bersikap terbuka dalam menerima cadangan serta maklum balas dan sentiasa bersedia untuk memperbaiki kelemahan agar dapat bersama-sama melakukan yang terbaik dalam menangani krisis kesihatan.
Katanya lagi, vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa keluar daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
“Sehingga kini, pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 telah mencapai prestasi memberangsangkan dengan sejumlah 11 juta suntikan telah berjaya diberi dan kita sedang menuju ke arah sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.
“Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan United Kingdom,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus saling bekerjasama dalam pelaksanaan vaksinasi Covid-19 negara dengan berkongsi maklumat yang sahih. -UTUSAN ONLINE










