PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengesahkan tiada petugas kementerian itu dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) tahap 5 selepas menerima vaksin Covid-19.
Situasi itu membuktikan kesan positif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan akhir Februari lalu berjaya mengekang kadar jangkitan dan isu keterukan klinikal.
“Setakat hari ini, hanya 1,834 petugas dijangkiti wabak itu daripada keseluruhan 243,309 yang sudah pun menerima dua dos lengkap dan kemudian dipantau lagi selepas 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama-sama Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin hari ini.
Mengulas lanjut, Adham berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,219 petugas kementerian tersebut mengalami gejala ringan kategori 2 manakala 612 lagi tiada gejala dalam tahap 1.
Hanya dua petugas ujarnya, dimasukkan dalam kategori 3 dengan mengalami radang paru-paru dan seorang lagi diletakkan sebagai tahap 4 yang memerlukan bantuan oksigen.
“Maka, ini bermakna, cuma 0.75 peratus daripada keseluruhan petugas sudah lengkap dua dos vaksin yang dijangkiti Covid-19 sejak PICK bermula 24 Februari lalu hingga kini,” jelasnya.
Justeru beliau menyifatkan mereka yang telah menerima vaksin masih boleh dijangkiti tetapi kurang serius dan tidak memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam khasnya di ICU.
Menyentuh cabaran bagi menurunkan kes harian bawah 4,000 agar negara beralih kepada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, Adham berkata, solidariti semua pihak amat diperlukan.
Apatah lagi ujarnya, lonjakan kes masih berlaku disebabkan penularan varian mutasi baharu iaitu Delta dari India lebih pantas merebak dalam senyap berbanding virus asal dari China.
“Antara usaha dilakukan ialah pendigitalan pengurusan pandemik melalui pelan transformasi sektor awam di bawah MyDigital bagi memperbaiki kecekapan perkhidmatan,” kata beliau.
Ini termasuk pemasangan peranti pintar untuk memantau pesakit agar tidak cuba keluar dari rumah atau tempat kuarantin yang dilakukan di kesemua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Begitu juga penggunaan pulse oximeter untuk mengukur bacaan kadar gas oksigen seseorang serta inisiatif bersepadu pelbagai agensi dalam pemerkasaan kesihatan mental.
Bagi menjayakan misi itu, 200 pegawai psikologi yang dilantik sejak akhir 2020 akan dilanjut sehingga tahun depan selain bantuan pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin agama setempat.
“Kami juga menghargai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menyediakan 160 pegawai terlatih di hospital seluruh negara bagi sokongan menangani kes kemurungan,” kata Adham. -UTUSAN ONLINE