Ada kesan tapak kaki Zara Qairina di tanah

Ada kesan tapak kaki Zara Qairina di tanah

MAIDON Bernados membawa patung yang digunakan dalam simulasi jatuhan berkait kematian Zara Qairina pada inkues kematian pelajar tingkatan satu itu di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah hari ini. -UTUSAN/SUWARNI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Terdapat lekuk atau kesan tapak kaki dipercayai milik pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di kawasan tanah tempat remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di Asrama Blok Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Maidon Bernados dari Bahagian Siasatan Jenayah (D10) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah ketika ditanya oleh peguam, Joan Goh yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Zara Qairina.

Joan: Rujuk kepada video simulasi, kenapa patung dilepaskan dalam keadaan kaki ke bawah?
Maidon: Ini kerana terdapat kesan tapak kaki pada tanah tersebut.

Joan: Apa maksud kamu ada kesan tapak kaki?
Maidon: Dipercayai pendaratan bermula dengan kaki dahulu.

Terdahulu, pegawai polis itu memberitahu, beliau tidak pernah merujuk kesan kerosakan pada patung kepada pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu bagi perbandingan kecederaan yang dialami oleh Zara Qairina.

Jelasnya ketika disoal oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, rujukan tersebut tidak dibuat kerana tidak pernah mendapat arahan daripada pegawai atasan untuk berbuat demikian.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa patung tersebut mengalami kerosakan selepas dijatuhkan dan bukan ditolak jatuh.

Shahlan: Kamu tahu yang Dr. Jessie juga pernah ke lokasi kejadian ada 2 Ogos lalu?
Maidon: Saya hanya tahu selepas selesai menjalankan simulasi jatuhan (3 Ogos).

Shahlan: Selepas patung dijatuhkan, adakah sebarang kerosakan terhadap bahagian kepala patung?
Maidon: Ada. Retak bermula di bahagian tepi kepala sehingga ke bahagian belakang.

Shahlan: Ada kerosakan di bahagian atas kepala?
Maidon: Tiada kesan retak tapi ada kesan hentakan.

Semalam, doktor yang pertama menerima dan merawat Zara Qairina ketika mula-mula dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Janefer Voo tidak menolak kemungkinan bahawa kecederaan yang ada di bahagian atas kepala remaja terbabit disebabkan oleh trauma akibat objek tumpul (blunt force trauma).

Shahlan: Ada rujuk kesan kerosakan patung kepada Dr. Jessie? Bukankah Dr. Jessie boleh buat pengesahan kecederaan dengan arwah Zara Qairina (dengan kerosakan patung)?
Maidon: Boleh (buat pengesahan) tetapi saya tidak rujuk (kepada Dr. Jessie) kerana tidak mendapat arahan daripada pegawai atasan.

Selain kerosakan pada bahagian kepala, patung yang digunakan dalam simulasi jatuhan itu turut patah kedua-dua belah kakinya.

Pada awal inkues, Dr. Jessie menyatakan antara kecederaan yang dialami pada bahagian kaki remaja terbabit adalah lebam pada pergelangan kaki kanan, patah remuk di bahagian distal tibia kanan melibatkan sendi pergelangan kaki, serta luka melecet pada kaki kiri.

Turut terdapat lebam pada pergelangan kaki dan kaki kiri, bahagian distal tibia kiri hancur dan senget, patah remuk pada bahagian kalkaneum (tulang tumit) dan tulang sendi buku lali terkehel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN