Masalah internet di penempatan Orang Asli sudah lama - Utusan Malaysia

Masalah internet di penempatan Orang Asli sudah lama

WALAUPUN mempunyai telefon, tempat tinggal Orang Asli tidak mempunyai liputan internet yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah capaian internet di perkampungan Orang Asli di seluruh negara telah berlaku lebih lima tahun lalu dan tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi berkata, perkara tersebut bukan isu baharu, malah situasinya semakin teruk.

“Kes di Bukit Bandaraya adalah salah satu betapa teruknya capaian internet di kawasan kami, walaupun terletak di kawasan bandar.

“Jadi, cuba bayangkan akses internet di perkampungan Orang Asli yang terletak jauh di kawasan bandar. Ia lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, kawasan perkampungan Orang Asli di sekitar tempat kediamannya di Bekok, Johor selalu tidak mempunyai capaian ketika waktu puncak, walaupun menara pemancar dipasang dekat dengan kawasan tersebut.

Situasi ini, kata Dolah, menyebabkan pelajar sekolah yang tinggal di kawasan berkenaan terpaksa berjalan lebih enam kilometer ke kawasan lapang bagi menjalani sesi Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada waktu ini.

“Malah, saya dikhabarkan ada ibu bapa yang sanggup bina pondok kecil supaya anak mereka boleh mengikuti PdPR dengan selesa serta berlindung daripada cuaca panas dan hujan.

“Saya telah membuat aduan kepada syarikat telco bertanggungjawab mengenai masalah internet di sini, namun, sehingga hari ini, mereka dilihat tidak melakukan apa-apa tindakan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dolah berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat melakukan sesuatu bagi membantu penduduk tempatnya mendapatkan capaian lebih baik.

Sekiranya situasi ini berlarutan, katanya, akan menyebabkan pelajar sekolah Orang Asli ketinggalan dari segi pembelajaran berbanding mereka yang tinggal di bandar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN