Hotel, resort ibarat dalam ICU - Utusan Malaysia

Hotel, resort ibarat dalam ICU

ZAMARI MUHYI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekatan pergerakan penuh yang disambung 14 hari lagi memberi kesan sangat buruk kepada pengusaha hotel dan resort terutama dari aspek kos operasi, pemberhentian kakitangan dan terpaksa menutup perniagaan ekoran tiada pendapatan.

Sehubungan itu, tiga persatuan berkaitan hotel dan pelancongan di Perak mengulangi rayuan kepada kerajaan agar mengembalikan Program Subsidi Upah selain subsidi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga akhir tahun ini.

Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Negeri Perak dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Negeri Perak menjelaskan, sektor itu tidak memiliki kelebihan seperti kilang yang boleh terus beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Pengerusi MyBHA Perak, Zamari Muhyi yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak berkata, mereka berterima kasih atas inisiatif kerajaan menerusi bantuan rangsangan yang diumumkan dan diterima secara one-off.

“Namun ia tidak dapat membantu kelangsungan perniagaan dalam tempoh jangka masa panjang untuk menampung kos operasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Zamari sedih kerana masih tiada pengurangan kos utiliti, ramai belum menerima bayaran Program Subsidi Upah 2.0 dan 3.0, tawaran moratorium pula tidak menyeluruh dan caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih diwajibkan walaupun tiada pendapatan.

Pada masa sama, jelasnya, bayaran sewa bulanan premis masih tetap perlu dibayar menyebabkan pengusaha terpaksa memikul beban yang sangat berat untuk bertahan.

“Dengan SOP yang ketat dan perubahan peraturan operasi sering berubah untuk pengunjung menginap di hotel dan resort sekarang ini mengakibatkan satu demi satu hotel dan resort  berada di dalam ‘wad ICU (Unit Rawatan Rapi)’ dan ada yang akan ‘ditalkinkan’ seterusnya,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Mohd. Zamzuri Suid pula, selain Program Subsidi Upah sebanyak RM1,500 sebulan, pihaknya juga berharap memperoleh subsidi caruman Perkeso sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, menurut beliau, pihaknya amat berharap kerajaan dapat meluaskan moratorium automatik untuk semua pengusaha sehingga akhir tahun ini bagi mengurangkan beban kewangan yang teruk dihadapi mereka sekarang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya