Covid-19: 11 kluster aktif, lima kematian baharu di Pahang - Utusan Malaysia

Covid-19: 11 kluster aktif, lima kematian baharu di Pahang

BAHARI CHE AWANG NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 11 kluster Covid-19 di Pahang dilaporkan aktif dengan mencatatkan pertambahan 78 kes positif sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 11,614 kes dengan lima kes kematian baharu turut direkodkan, hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, lima kes kematian baharu tersebut menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 96 kes.

“Bagaimanapun kluster yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi iaitu Kluster Delima Raya dengan pertambahan 15 kes menjadikannya sebanyak 273 kes positif Covid-19 dan diikuti Kluster Rantau Kenanga dengan tambahan tujuh kes baharu dan keseluruhannya adalah 102 kes.

“Sembilan lagi kluster lain yang turut aktif seperti Kluster Pasar Borong Jengka, Kluster Jaya Gading, Kluster Gunung Senyum, Kluster Kampung Paya Teh, Kluster Batu Hitam, Kluster Industri Mentakab, Kluster Kg. Mat Daling dan Kluster Kampung Baru Bentong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 78 kes, hari ini, 64 kes merupakan warganegara Malaysia, manakala 14 kes adalah warganegara asing. 

Selain itu, 76 kes merupakan jangkitan tempatan dan dua kes import B (dua dari Kelantan), 45 kes diperolehi daripada saringan kluster, 26 saringan kontak rapat, lima saringan bergejala, satu saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan satu saringan pekerjaan.

Dr. Bahari berkata, kes kematian dilaporkan Kementerian Kesihatan melibatkan dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 39 tahun sehingga 74 tahun.

“Tiga kes kematian melibatkan wanita yang berusia 62 tahun (kes ke-92) dari Ladang Sungai Merba, Pekan dan dua lagi dari Kuantan berusia 59 tahun (kes ke-93) dari Kampung Chendering, Pandan 2 serta pesakit berusia 39 tahun (kes ke-96) darinIndera Mahkota.

“Kes kematian ke-94 dan ke-95 merupakan dua orang lelaki berusia 74 tahun dari Taman Midland, Triang, Bera, dan 53 tahun dari Felda Tembangau 3, Bera,” katanya.

Sementara itu, katanya, setakat ini sejumlah 768 kes positif Covid-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri ini dan enam buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Hanya 131 kes berada dalam pengawasan di rumah dan sebahagiannya adalah 19 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sebanyak lapan kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh (Hoshas) dengan lima kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya