Boleh ‘walk in’ selepas semua individu berdaftar divaksin - Utusan Malaysia

Boleh ‘walk in’ selepas semua individu berdaftar divaksin

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra dengan penerima vaksin yang menunggu giliran di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Orang ramai boleh menerima suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara selepas kesemua individu yang sudah berdaftar selesai menerima dos masing-masing.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, proses pemvaksinan individu yang berdaftar itu dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal.

Kata beliau, kaedah ‘walk in’ tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana masih ramai individu berdaftar belum mendapat janji temu untuk suntikan vaksin dos pertama dan dos kedua masing-masing.

“Selepas selesai pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang berdaftar, untuk peringkat seterusnya barulah kita akan buka secara ‘walk-in’ di semua PPV di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Kebangsaan dan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim.

Mesyuarat CITF Peringkat Kebangsaan dan Negeri Kelantan tersebut dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Khairy  dalam pada itu memberitahu, setakat ini hanya 42 peratus daripada 1.2 juta penduduk di Kelantan yang layak sudah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin menerusi PICK.

Katanya, secara purata seramai 12,000 individu di Kelantan menerima vaksin setiap hari dan kerajaan bercadang untuk meningkatkan bilangan penerima vaksin itu kepada 30,000 orang sehari mulai Julai ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN