Asyik ‘smash’ bulu tangkis, 32 kena kompaun - Utusan Malaysia

Asyik ‘smash’ bulu tangkis, 32 kena kompaun

POLIS mengeluarkan kompaun terhadap 32 individu yang bermain badminton dalam tempoh PKP 3.0 di Skudai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 32 individu yang sedang bermain badminton dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, polis menjalankan operasi di sebuah gelanggang badminton di Jalan Skudai di sini pada pukul 5.35 petang, kelmarin setelah mendapat maklumat.

Katanya, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan pihaknya adalah sebanyak RM48,500 termasuk kompaun terhadap seorang pemilik premis.

“Dalam operasi itu, seramai 32 lelaki berusia antara 18 hingga 44 tahun dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP 3.0.

“Seorang pemilik premis berkenaan dikompaun sebanyak RM2,000 manakala kesemua yang lain dikenakan kompaun sebanyak RM1,500,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Rupiah, badminton adalah satu aktiviti yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dilakukan dalam tempoh PKP 3.0 ketika ini.

“Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Kesemua individu terlibat telah dibebaskan tanpa syarat selepas kompaun dikeluarkan terhadap mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya