PETALING JAYA: Mana-mana ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang positif Covid-19 digesa membuat tuntutan manfaat kebajikan sehingga RM300.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, manfaat terbaharu diwujudkan YGMB itu sebenarnya boleh dituntut sejak Jun tahun lalu.
“Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, YGMB telah menambah satu lagi manfaat baharu iaitu Positif Covid-19.
“Untuk manfaat ini, para ahli boleh membuat tuntutan bermula sejak Jun tahun lalu. Mungkin ada yang tidak maklum tentang perkara ini dan kita uar-uarkannya sekali lagi.
“Dengan manfaat ini, YGMB berharap dapat meringankan beban para ahli yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Wan Munadi lagi, semua kategori ahli YGMB iaitu Ahli Seumur Hidup, Ahli Skim 16, Ahli Skim 18 dan terbaharu Skim Emas layak membuat tuntutan sekiranya positif Covid-19.
“Atas faktor peningkatan kes harian Covid-19, YGMB menerima agak banyak tuntutan ahli-ahli,” katanya.
Dalam masa sama, Wan Munadi berkata, ahli yang ingin membuat tuntutan boleh memuat turun Borang Tuntutan Positif Covid-19 di laman web rasmi www.ygmb.com.my.
Katanya, borang perlu diisi dengan lengkap sebelum dihantar kepada YGMB untuk diproses melalui email [email protected] atau boleh dihantar melalui pos.
Dalam perkembangan lain, Wan Munadi berkata, YGMB baru-baru ini telah melancarkan Skim Emas buat warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-50.
“Skim Emas ditawarkan itu sebagai hadiah atas sokongan jitu guru-guru terhadap peranan dan usaha dimainkan YGMB dalam memelihara kebajikan warga pendidik.
“Skim yang dijayakan dengan kerjasama Takaful Ikhlas Family Berhad ini lain daripada yang lain kerana jangka hayat perlindungan sehingga warga pendidik tersebut berumur 80 tahun.
“Faktor utama Skim Emas diperkenalkan ialah bagi memastikan tiada seorang pun warga pendidik terlepas peluang menyertai YGMB,” katanya. – UTUSAN ONLINE










