Vaksin Covid-19 tepati Maqasid Syariah - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19 tepati Maqasid Syariah – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Semua pihak berperanan untuk menyedarkan masyarakat berkenaan kepentingan suntikan Covid-19 di dalam agama Islam yang meletakkan menjaga nyawa sebagai keutamaan sehingga dihalalkan perkara haram.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, para ulama Maqasid Syariah menyenaraikan mengikut tertib keperluan hidup manusia yang wajib dijaga iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan menjaga harta.

“Malah dalam ayat 172 dan 173 surah al-Baqarah menyebutkan peranan agama bagi menentukan hukum bahawa menjaga nyawa itu hendaklah diutamakan melebihi perkara-perkara yang lain. Sehingga dihalalkan perkara haram semata-mata ingin menjaga nyawa.

“Maka jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama. Lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat kerana ia boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum khususnya bagi menunaikan kewajipan dalam memelihara nyawa,” katanya dalam minda Presiden Pas hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan para ulama khususnya mufti perlu berijtihad secara berjemaah dengan tidak memberikan pendapat secara berseorangan kerana sekarang bukan masanya sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing.

Ujarnya, malah kini bukanlah masa yang sesuai untuk kempen politik bagi memperkecilkan Perdana Menteri mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat.

“Bahkan pada masa inilah undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka tidak menghormati kepentingan masyarakat umum khususnya pengamal media menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana seperti hari ini.

“Ini termasuklah agamawan menyanggah pelaksanaan perintah kuarantin, SOP dan pengambilan vaksin sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam,” katanya.

Abdul Hadi menambah tugas pakar perubatan dan pihak keselamatan telah menjadi jihad fardhu ain dan besar pahala kerana sanggup mengorbankan nyawa, di samping terdapat para sahabat terdahulu meninggal dunia ketika berlakunya wabak taun dan para ulama menegaskan mereka adalah para syuhada.

“Para ulama juga menamakan mereka sebagai golongan para syuhada alam akhirat dan mereka diamankan daripada sebarang fitnah kubur, dengan makna tidak akan disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir.

“Pada masa yang sama, jenazah mereka yang beroleh ganjaran syahid akhirat diuruskan di alam dunia seperti biasa. Hal ini menunjukkan bahawa mereka yang berada di barisan hadapan menjalankan tugas jihad fardu ain, bukan lagi fardu kifayah.

“Maka, jangan diganggu tugasan mereka nanti berdosa besar melainkan mereka yang tidak percaya kepada Hari Akhirat, dosa dan pahala,” ujar Abdul Hadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN