PKPD: Keluar hanya perlu - Utusan Malaysia

PKPD: Keluar hanya perlu

ABDUL YUNUS JAMAHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk di kawasan yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini dinasihatkan hanya keluar rumah jika terdapat keperluan penting seperti untuk membeli barang keperluan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, ia sebagai usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dan mengelakkan panik dalam kalangan orang ramai.

“Orang ramai harus bertenang dan tidak panik terhadap pengumuman PKPD di empat mukim dalam Perak yang berkuat kuasa hari ini sehingga 4 Jun ini.

“Saya menyarankan pengguna di kawasan PKPD supaya menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barang keperluan dan makanan ketika tempoh PKPD selain mengelak pembelian berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Yunus, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di negeri ini mencukupi dan stabil.

Katanya, bekalan barang dapat menampung permintaan semasa dan premis peruncitan seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, restoran, gerai makanan dan lain-lain masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Jika terdapat isu-isu berkaitan kekurangan bekalan makanan di mana-mana kawasan, orang ramai diminta melaporkan terus kepada pihak KPDNHEP Perak,” katanya.

Empat mukim di Perak terlibat PKPD iaitu Mukim Pengkalan Hulu, Mukim Taiping, Mukim Hulu Kinta dan Mukim Hulu Bernam Timur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN