Op Had 2J : Belum ada kompaun dikeluarkan di Terengganu - Utusan Malaysia

Op Had 2J : Belum ada kompaun dikeluarkan di Terengganu

KAKITANGAN KPDNHEP Terengganu memeriksa rekod imbasan MySejahtera pelanggan dalam operasi had dua jam (Op Had 2J) di beberapa pasar raya di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu giat menjalankan operasi had dua jam (Op Had 2J) bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan di premis perniagaan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, sejak dilaksanakan tiga hari lalu, belum ada mana-mana individu yang dikompaun atas kesalahan berkenaan.

Katanya, operasi khas yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memfokuskan kepada pasar raya, pasar tani, pasar malam dan lain-lain premis tumpuan orang ramai.

“Individu yang melanggar had masa maksimum dua jam akan dikompaun sebanyak RM2,000.

“Sehubungan itu, kita meminta pengguna untuk merancang perjalanan dan menyenaraikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu serta segera beredar selepas selesai urusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saharuddin turut meminta pemilik premis agar bersama-sama memainkan peranan dengan meletakkan seorang pekerja untuk memantau had masa pelanggan di samping menampal notis jumlah yang dibenarkan di pintu masuk, menyediakan alat pengimbas suhu, buku rekod dan kod MySejahtera di samping memastikan individu berisiko rendah.

Dalam pada itu, katanya, seramai 115 pegawai penguatkuasa dan 59 pegawai pemantau harga ditugaskan ke lokasi tumpuan ramai untuk memantau keberadaan barangan keperluan harian terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN