'Syukur kami dapat bernafas semula' - Utusan Malaysia

‘Syukur kami dapat bernafas semula’

PEKERJA membersih dan mengemas dewan perkahwinan, Zemi Garden Wedding di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan sebagai persediaan penganjuran majlis-majlis perkahwinan. - MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan kerajaan membenarkan penganjuran semua majlis sosial termasuk majlis perkahwinan melegakan pengusaha katering dan dewan perkahwinan.

Apa tidaknya, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majlis-majlis sosial dilarang mengakibatkan perniagaan katering dan dewan perkahwinan terjejas kerana tiada sebarang tempahan untuk perkhidmatan tersebut.

Bagi pengasas bersama Zemi Garden Wedding, Mohd. Adam Swarti, 36, dia sangat bersyukur akhirnya perniagaannya dapat kembali beroperasi.

“Sejak bermula PKP tahun lalu, dewan perkahwinan kami terpaksa ditutup, dibuka kemudian terpaksa ditutup kembali dan akibat ketiadaan tempahan saya terpaksa ‘mengikat perut’.

“Perniagaan saya terkesan, putus punca pendapatan, tapi kami perlu juga untuk menyara diri, keluarga dan membantu pekerja-pekerja. Alhamdulillah, kebenaran beroperasi semula sejak semalam buat kami boleh ‘bernafas’ semula,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di dewan perkahwinan tersebut yang terletak di Rasah, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Adam berharap kes positif Covid-19 dapat terus menunjukkan aliran penurunan supaya PKP tidak lagi dilaksanakan dan majlis sosial tidak sekali lagi dilarang dianjurkan kerajaan.

“Sudah tentu keadaan sekarang membuatkan saya berasa lega dan bersyukur. Saya sangat berterima kasih kepada pihak berwajib kerana membenarkan kembali operasi majlis perkahwinan untuk berjalan seperti sebelum ini.

“Namun pada masa yang sama, saya risau juga majlis perkahwinan ini kembali ditutup jika kes positif Covid-19 naik kembali. Untuk itu semua pihak perlu memberikan kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN