Proses vaksinasi staf PKRC 2.0 MAEPS berjalan lancar - Utusan Malaysia

Proses vaksinasi staf PKRC 2.0 MAEPS berjalan lancar

PETUGAS barisan hadapan menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di PKRC bersepadu Maeps 2.0 Serdang, hari ini. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program vaksinasi untuk petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini berjalan lancar.

Koordinatornya, Dr. Ahmad Hisyamuddin Ahmad Lutfi berkata, 24 staf disuntik setiap jam dan dijangka sejumlah 96 petugas menerima vaksinasi sepanjang hari ini sahaja.

“Kita sudah bermula pada Isnin lepas dan berharap selesai untuk suntikan dos pertama pada Jumaat minggu depan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Dewan D1 PKRC 2.0 MAEPS, hari ini.

Mereka adalah antara sebahagian daripada 500,000 petugas barisan hadapan yang divaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula bulan lalu.

Menyentuh cabaran terbesar sepanjang proses itu, Ahmad Hisyamuddin berkata, pihaknya perlu meneliti dalam penyelarasan senarai nama staf dengan bilangan dos diterima dari pusat simpanan vaksin.

“Kita kena memastikan hanya mereka menerima suntikan di sini juga dapat dos kedua pun di sini sebab ada petugas memohon untuk divaksin di tempat lain,” kata beliau.

Dalam pada itu, pegawai perubatan dari Hospital Serdang dekat sini, Dr. Ahmad Suhaib Mohd. Dan, 29, bersyukur menjadi antara kumpulan terawal menerima suntikan.

Ketika ditemui, beliau yang juga pasukan penyelaras program vaksinasi di PKRC 2.0 MAEPS, menyarankan sesiapa yang belumi mendaftar PICK agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata, kecuali mereka yang ada sejarah penyakit agak kronik, individu sihat sepatutnya tidak perlu berasa bimbang menerima vaksinasi dan terbukti selamat.

“Memang tiada rasa sakit pun setelah disuntik. Mungkin rasa lenguh sedikit di lengan tetapi sesiapa yang enggan divaksin nampak pelik sebab dos ini diberi percuma,” ujarnya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya, Ramacantiram M. Ananthaan, 39, yang bertugas di PKRC 2.0 MAEPS turut gembira menerima suntikan vaksin.

Beliau yang bertugas di situ sejak hari pertama dibuka pada 9 Disember tahun lalu berkata, lima petugas dari 20 kakitangan agensi itu mendapat vaksin hari ini.

“Kami disuntik secara berperingkat dan setakat ini, semua petugas JKM di sini teruja serta tidak sabar disuntik malah proses sepanjang hari ini juga berjalan lancar tanpa masalah,” katanya.

Tidak ketinggalan mendapat vaksin berkenaan ialah seorang anggota polis yang bertugas di PKRC 2.0 MAEPS, Rezmol Jibing, 27, berasal dari Pitas, Sabah, yang turut meluahkan kesyukuran.

Katanya, dia berasa seperti biasa ketika lengannya disuntik walaupun sebelum itu ada terdengar banyak cerita tidak baik mengenai vaksin tersebut menerusi media sosial.

“Mula-mula memang berasa takut tetapi setelah divaksin tadi, perasaan itu hilang. Tipulah kalau kata tidak takut, namun saya gembira tidak mengalami kesan sampingan pun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya