8.5 peratus usahawan 'tutup kedai' sejak Covid-19 - Utusan Malaysia

8.5 peratus usahawan ‘tutup kedai’ sejak Covid-19

MAS Ermieyati Samsudin (dua dari kiri) meninjau operasi Pasar Raya Coop Ummah Milik Koperasi Ummah Berhad di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 8.5 peratus golongan usahawan di seluruh negara terpaksa ‘tutup kedai’ dan menghentikan operasi masing-masing ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 58 peratus daripada kira-kira 80,000 usahawan pula berdepan pelbagai masalah lain sehingga turut menjejaskan operasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan bagi membantu usahawan memulihkan kembali perniagaan mereka sekali gus membantu mengurangkan impak ekonomi kepada pemain industri.

“Antara bantuan yang diberikan terutama koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan insentif khas program pemulihan pasca Covid-19 berjumlah RM1.66 juta.

“Selain itu, SKM juga menawarkan insentif khas pembiayaan program pemulihan pasca Covid-19 berjumlah RM3.48 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Coop Ummah Milik Koperasi Ummah Berhad, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd. Noor.

Mengulas perkembangan koperasi di negara ini, Mas Ermieyati berkata, terdapat kira-kira 30 peratus koperasi dikesan tidak aktif dan SKM akan bertindak untuk membantu mereka.

“Bukan mudah kita nak tubuhkan satu-satu koperasi, jadi sayang kalau dibiarkan ia tidak aktif atau lebih teruk lagi, terpaksa ditutup.

“Oleh itu, SKM sentiasa membantu ahli koperasi yang bermasalah ini dengan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan, termasuklah membantu mengubah semula pelan perniagaan mereka sebelum ini yang dikatakan tidak memberi pulangan setimpal,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Mas Ermieyati turut menyerahkan replika cek kepada 17 wakil koperasi yang terjejas teruk akibat bencana banjir awal tahun ini, melalui Tabung Kecemasan Koperasi SKM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya