Lega, namun perniagaan belum rancak - Utusan Malaysia

Lega, namun perniagaan belum rancak

JUMLAH pelanggan masih kurang walaupun kerajaan melonggarkan syarat dan boleh makan di kedai makan mengikut kapasiti meja. - UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEOGETOWN: Peniaga-peniaga makanan dan minuman terutama restoran nasi kandar di sini lega selepas kerajaan membenarkan pelanggan duduk lebih daripada dua orang semeja bermula semalam.

Bagaimananapun, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan restoran nasi kandar dan peniaga makanan di pusat bandar ini mendapati, jumlah pelanggan yang datang menikmati makanan di kedai masih berkurangan.

Pengurus Restoran Hameediyah, Mohamed Azlan, 35, berkata, perniagaan mereka belum rancak memandangkan kebenaran untuk pelanggan duduk lebih dua orang semeja hanya bermula semalam.

“Perniagaan kami hanya pulih 10 peratus sahaja selepas kerajaan membenarkan dua pelanggan makan di restoran minggu lalu.

“Jumlah pelanggan yang datang juga masih berkurangan, mungkin atas faktor kewangan atau pelanggan tidak dapat merentas daerah dan negeri,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan menarik balik larangan makan semeja dua orang di kedai makan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan kini membenarkan pelanggan duduk lebih daripada dua orang semeja, namun perlu mengikut kesesuaian saiz meja makan di sesebuah premis.

Menurut Mohamed, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaannya mengalami kemerosotan sekali gus berharap pelanggan kembali mengunjungi restoran berkenaan selepas dibenarkan makan di premis.

“Pelanggan kadangkala datang bersama keluarga, jadi bila tidak dapat makan di restoran mereka hanya beli secara bungkus.

Dalam pada itu, seorang peniaga di Medan Selera Padang Kota, Najimudin Ishak, 65, berkata, jumlah pelanggan yang menjamu selera di medan selera tersebut masih kurang.

“Perniagaan kami merosot lebih 80 peratus sejak PKP dilaksanakan, kami harap jumlah pelanggan meningkat selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN