1,278 dos vaksin tiba di Langkawi Khamis ini - Utusan Malaysia

1,278 dos vaksin tiba di Langkawi Khamis ini

SAIFUL Anwar Azmi (dua dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 Daerah Langkawi di Langkawi, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak 1,278 dos vaksin dijangka tiba di Jeti Tanjung Lembong, di sini melalui feri kargo dari Jeti Kuala Perlis, Khamis ini.

Pegawai Daerah, Saiful Anwar Azmi berkata, vaksin tersebut terlebih dahulu diberikan kepada seramai 400 anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan bermula Ahad ini.

Katanya, anggota kementeria itu menerima vaksin itu di tiga tempat iaitu Hospital Sultanah Maliha, Klinik Kesihatan Kuah dan Klinik Kesihatan Ayer Hangat, di sini.

“Anggota barisan hadapan lain seperti anggota polis, Jabatan Imigresen dan jabatan-jabatan lain menerima vaksin tersebut selepas itu di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 Daerah Langkawi bagi membincangkan pelaksanaan program vaksinasi tersebut, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mansor Ismail.

Utusan Malaysia pada 22 Februari melaporkan sebanyak 312,390 dos vaksin comirnaty keluaran Pfizer-BioNtech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsan Kuala Lumpur sebelum diagihkan di seluruh negara.

Tambahnya, fasa seterusnya pula diberi kepada golongan awam berisiko tinggi diikuti orang awam lain yang berusia 18 tahun ke atas.

“Mesyuarat ini juga membincangkan aspek kawalan keselamatan untuk memastikan vaksin tersebut dapat dibawa ke tempat simpanan dengan selamat dan kawalan di tempat simpanan vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLNE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN