Tunjuk keputusan Covid-19, Ismail Sabri diminta beri penjelasan - Utusan Malaysia

Tunjuk keputusan Covid-19, Ismail Sabri diminta beri penjelasan

JAGDEEP Singh Deo (kiri) menyerahkan pelitup muka kepada peniaga di pasar awam Jalan Kuantan, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung kebenaran kerajaan kepada pihak pengurusan kondominimum atau apartmen yang mahu penghuninya menunjukkan keputusan ujian Covid-19 sebelum memasuki premis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, banyak pihak terutama penghuni di unit bangunan berstrata keliru dengan keputusan itu memandangkan jelas bercanggah dengan keputusan sebelum ini.

Katanya, pada Mei tahun lalu, Ismail pernah memaklumkan menjadi kesalahan jika pihak pengurusan bangunan berstrata seperti kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa melarang penghuni pulang ke rumah masing-masing.

“Ramai yang hubungi saya, mereka keliru dengan keputusan terbaharu ini yang diumumkan oleh seorang menteri sama.

“Penduduk di Pulau Pinang, Johor Selangor dan Kuala Lumpur adalah yang paling ramai menghuni skim bangunan berstrata ini, ramai yang memerlukan penjelasan lanjut berhubung keputusan terbaharu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang jika ada pihak pengurusan kondominimum atau apartmen menghendaki penghuninya menunjukkan keputusan ujian Covid-19 sebelum memasuki premis berkenaan.

Menurut Jagdeep, keputusan terbaharu kerajaan berhubung bangunan berstrata itu mempunyai implikasi dari segi perundangan negara.

“Dari segi Perlembagaan, Artikel 13 menyatakan hak kita pada hartanah tidak boleh terjejas oleh sesiapa.

“Untuk satu skim strata kalau hendak halang seseorang daripada masuk ke rumah mereka, perlu ada satu mesyuarat agung tahunan (AGM) yang mana penduduk setuju mengubah peraturan supaya siapa yang ingin masuk perlu ada keputusan ujian Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, AGM tidak boleh dilakukan penduduk kerana perintah berkenaan tidak membenarkan sebarang perhimpunan awam.

Selain itu, katanya, kerajaan juga tidak pernah mewajibkan penduduk tempatan menjalankan ujian saringan Covid-19 dan hanya mewajibkan pekerja asing melaksanakannya.

“Penduduk di bangunan strata juga terdiri daripada warga tempatan, ada yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta rumah kos rendah, jadi siapa yang akan tanggung kos ujian saringan ini?

“Apakah Kerajaan Pusat yang akan tanggung seperti saringan terhadap warga asing ditanggung oleh Perkeso?,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya