Pengusaha tutup sementara chalet, resort - Utusan Malaysia

Pengusaha tutup sementara chalet, resort

SUASANA sepi dan suram di Ismah Beach Resort yang tiada pengunjung dan ditutup sementara sepanjang PKP di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID TANAH: Kebanyakan pengusaha chalet dan pusat peranginan di Pusat Pelancongan Kampung Pengkalan Balak, dekat sini terpaksa menutup sementara operasi ekoran ketiadaan pengunjung sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 13 Januari lalu.

Pengusaha Chalet Seri Tanjong, Chempaka Abdul berkata, dia mengambil keputusan tidak menjalankan perniagaan disebabkan ketiadaan pengunjung sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di negeri ini minggu lalu.

“Larangan orang dari luar Masjid Tanah menginap di semua chalet atau resort di sepanjang pantai Pengkalan Balak menyebabkan saya buat keputusan menutup sementara chalet lapan bilik ini.

“Pantai pun tidak boleh dikunjungi orang ramai begitu juga berkelah dan bersantai juga tidak dibenarkan menyebabkan pantai ini tidak ada pengunjung walaupun dari daerah lain di negeri ini. Daripada buka lebih baik tutup sementara,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bagi Kemunting Beach Resort yang mempunyai 42 bilik juga tidak terkecuali terkesan apabila sejak 13 Januari lalu ramai pelancong mengambil keputusan membatalkan tempahan bilik yang dibuat sebelum ini.

Kakitangan resort berkenaan, Samsilah Maasin berkata, pihaknya terpaksa menutup sementara waktu sehingga berakhirnya PKP pada 4 Februari ini untuk mengelak daripada kerugian yang terpaksa ditanggung terutama menjimatkan penggunaan elektrik dan air.

“Sejak PKP, seluruh kawasan pelancongan di sini kembali sepi dan sunyi seperti PKP pertama Mac lalu. Sebelum ini, setiap hujung minggu pantai di sini dipenuhi dengan kedatangan ramai pengunjung khususnya dari luar negeri ini,” ujarnya.

Pengurus Ismah Beach Resort, Mohd. Faizal Ismail pula berkata, dia terpaksa mengambil keputusan menutup resortnya buat sementara waktu sehingga berakhirnya tempoh PKP.

“Ramai pelanggan dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan membatalkan tempahan dan saya tidak ada pilihan, lebih baik tutup sementara daripada buka sebab tidak ada orang hendak menginap,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN